SIASATAN sedang dijalankan bagi mengenalpasti punca kematian seorang tahanan di pusat tahanan imigresen Bukit Jalil yang disahkan positif Covid-19, kata Dr Noor Hisham Abdullah.
Ketua Pengarah Kesihatan berkata selain disahkan positif virus itu, tahanan berusia 67 tahun dari India itu juga mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi, penyakit jantung dan penyakit buah pinggang.
“Kita tidak pasti sama ada terdapat jangkitan lain selain Covid-19,” katanya.
Sehubungan itu, Kementerian Kesihatan mengambil sampel untuk menjalani ujian lanjut bagi mengenalpasti punca sebenar kejadian sama ada disebabkan Covid-19 atau sebab lain.
“Sama ada seseorang positif Covid-19 dan mereka mati akibat bunuh diri. Jadi punca kematian akan dikategorikan sama ada Covid-19 atau bunuh diri.
“Atau jika seorang meninggal dunia akibat kemalangan tetapi positif Covid-19. Jadi apa punca kematiannya? Adakah sebab Covid-19 atau sebab lain,” jelasnya.
“Siasatan sedang dijalankan. Kita telah mengambil sampel untuk ujian lanjut supaya kita boleh bagi laporan terperinci,” katanya.
Mangsa tidak sedarkan diri di pusat tahanan imigresen Bukit Jalil dan dibawa ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), sebelum disahkan meninggal dunia pada 12 Jun lepas.
Saringan ujian COVID-19 didapati positif dan keputusan penuh bedah siasat masih dalam proses.
Noor Hisham berkata semua rakan sebilik mangsa turut diasingkan dan kementerian sedang menyiasat sama ada mereka juga terdedah kepada virus itu.
Kes kematian tahanan itu menjadikan angka korban Covid-19 di negara ini naik kepada 121 orang. – 14 Jun, 2020.
Komen