Tahanan depoh Bukit Jalil korban ke-121 Covid-19


Ragananthini Vethasalam

Negara sekali lagi melaporkan angka satu digit kes baharu Covid-19 dengan lapan kes. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Jun, 2020.

SEORANG tahanan di Pusat Tahanan Imigresen Bukit Jalil menjadi korban Covid-19 ke-121 di Malaysia, kata Dr Noor Hisham Abdullah.

Ketua Pengarah Kesihatan itu berkata, si mati adalah warga India berusia 67 tahun dan memiliki sejarah penyakit kronik seperti kencing manis, tekanan darah tinggi, penyakit jantung dan penyakit buah pinggang.

“Dia tidak sedarkan diri ketika ditemui dan dibawa ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM dengan ambulans. Dia dinyatakan meninggal pada 12 Jun,” kata Noor Hisham di sidang akhbar harian hari ini.

“Ujian Covid-19 positif. Hasil autopsi penuh masih dalam siasatan, ” tambahnya.

Berhubung jangkitan baharu, negara sekali lagi melaporkan angka satu digit kes baharu Covid-19 dengan lapan kes.

Beliau berkata ini menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan berjumlah 8453 sementara jumlah kes aktif berjumlah 986 orang.

Dr Noor Hisham berkata, dua kes baharu itu diimport dan melibatkan penduduk tetap sementara selebihnya adalah penularan tempatan, menyaksikan dua kes melibatkan warga Malaysia.

Katanya, empat daripada jangkitan baharu penularan tempatan dikesan di tapak pembinaan Kuala Lumpur 2 melibatkan warga Bangladesh.

Sementara itu, katanya, 35 orang disahkan pulih dan dibenarkan pulang, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan pemulihan sebanyak 7346.

Setakat ini, empat pesakit sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU). – 14 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen