PERSATUAN Persatuan Malaysia (MMA) menggesa tindakan diambil terhadap pihak ketiga atau orang tengah yang secara terbuka membuat keuntungan daripada ujian saringan Covid-19.
Presiden MMA Dr N. Ganabaskaran juga menggesa Kementerian Kesihatan untuk menyiarkan semua senarai makmal yang melakukan ujian Covid-19.
“MMA memantau perkembangan tentang kewujudan ‘orang tengah’ yang tiada kaitan dengan sektor penjagaan kesihatan yang mengambil kesempatan daripada situasi Covid-19 dengan mengiklankan ujian saringan Covid-19.
“Krisis Covid-19 tidak patut dijadikan peluang untuk membuat keuntungan kerana ini melibatkan soal keselamatan pesakit,” katanya dalam satu kenyataan.
“Sebelum ini beberapa laporan telah dibuat mengenai proses saringan yang tidak mengikut protokol yang sepatutnya, bagaimanapun laporan itu tidak diendahkan.
“Tanpa penguatkuasaan, undang-undang yang wujud bagi mengawal selia perkara ini tidak akan memberi sebarang makna dan amat mengejutkan bagaimana beberapa pengiklanan penyaringan yang dikomersialkan ini dibenarkan tanpa pelaksanaan protokol yang tepat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, krisis Covid-19 tidak seharusnya dijadikan sebagai peluang untuk menambah pendapatan atau meningkatkan profil pendapatan dengan berkompromi terhadap keselamatan dan kualiti perkhidmatan yang diberikan.
Jelasnya, perkhidmatan penjagaan kesihatan tidak boleh dianggap sebagai komoditi, di mana keuntungan tidak sepatutnya diutamakan.
“Sebilangan besar masyarakat yang tidak mengetahui mengenai protokol ketat yang harus dipatuhi akan lebih tertarik dengan harga yang lebih rendah, tanpa menyedari terdapat kompromi dalam kualiti penjagaan kesihatan yang diterima.
“Kerana itu pengilang, pembekal dan penyedia perkhidmatan mesti bertanggungjawab dalam pemasaran, penjualan dan pengedaran barang dan perkhidmatan penting serta mematuhi undang-undang yang sedia ada,” katanya.
Semalam, Kementerian Kesihatan menggesa orang ramai untuk melaporkan jika berlaku aktiviti pemalsuan ujian Covid-19 kepada pihak berkuasa.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata hanya satu sahaja sijil sah untuk ujian Covid-19 yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan dan makmal swasta. – 14 Jun, 2020.
Komen