Kenyataan Dr Mahathir menghina mahkamah, kata Dzulkifli


Bekas ketua psuruhjaya SPRM Dzulkifli Ahmad berkata hanya mahkamah yang berhak memutuskan sama ada tertduh dibebaskan atau sebaliknya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Jun, 2020.

DR Mahathir Mohamad menghina mahkamah kerana mendakwa Perdana Menteri Muhyiddin Yassin akan pastikan enam ahli Parlimen Umno yang sedang berdepan perbicaraan rasuah akan dibebaskan, kata Dzulkifli Ahmad.

Bekas ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerusi Twitter berkata Dr Mahathir menghina badan kehakiman, kerana hanya mahkamah yang boleh menentukan sama ada seseorang tertuduh dibebaskan atau sebaliknya.

“Hanya mahkamah yang boleh membebaskan yang dituduh. Kenyataan mengatakan bahawa PM ‘Muhyiddin akan tentukan enam orang wakil rakyat akan didapati tidak bersalah’ adalah kenyataan menghina mahkamah!

“Penghinaan kepada Hakim yang menghakimi kes-kes tersebut,” kata Dzulkifli.

Semalam, Dr Mahathir menerusi blognya menuduh Muhyiddin merancang untuk memastikan enam ahli Parlimen yang menghadapi tuduhan rasuah bebas daripada pertuduhan sehingga beliau dapat mengekalkan majoriti tipis kerajaannya.

Dalam catatan blog bertajuk ‘Telur di hujung tanduk’, Mahathir menyebut enam orang yang akan dibebaskan oleh Muhyiddin tersebut, termasuk Najib Razak, Ahmad Zahid Hamidi, Tengku Adnan Tengku Mansor, Abdul Azeez Abdul Rahim, Ahmad Maslan dan Bung Mokhtar Radin.

“Sekarang jumlah wakil rakyat yang menyokong Muhyiddin hanya 114, iaitu tiga sahaja lebih dari separuh (111 wakil rakyat).

“Jika enam orang ini didapati bersalah oleh mahkamah, mereka tidak lagi jadi wakil rakyat. Dengan itu penyokong Muhyiddin tinggal 108 – iaitu kurang dari separuh. Maka Kerajaan Muhyiddin pun akan jatuh.

“Sebab itu Muhyiddin akan tentukan enam orang wakil rakyat akan didapati tidak salah.” tulis Dr Mahathir.

Kerajaan Pakatan Harapan yang diterajui Dr Mahathir dijatuhkan pada akhir Februari oleh gabungan Perikatan Nasional Muhyiddin dengan Barisan Nasional, PAS dan pemimpin PKR serta Gabungan Parti Sarawak, selepas Muhyiddin yang merupakan presiden Bersatu mengeluarkan parti daripada PH.

Dr Mahathir yang tidak setuju dengan langkah itu meletakkan jawatan sebagai perdana menteri, menyebabkan PH tumbang.

Dzulkifli dilantik sebagai ketua pesuruhjaya SPRM pada Ogos, 2016 di bawah pentadbiran Najib, dan meletakkan jawatan pada 14 Mei, 2018 selepas PH memenngi kerajaan pusat.

Ketika PH memegang Putrajaya, SPRM di bawah ketua pesuruhjaya Latheefa Koya mendedahkan rakaman audio perbualan telefon yang dirakam secara rahsia mengaitkan Dzulkifli dalam mendedahkan kepada Najib terdapat rancangan untuk penahanannya berhubung SRC International, iaitu anak syarikat 1Malaysia Development Berhad.

Bagaimanapun penahanan itu tidak berlaku kerana peguam negara ketika itu, Abdul Gani Patail digantikan secara tiba-tiba oleh Najib. – 14 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen