CHINA melaporkan 57 kes baharu Covid-19 hari ini, angka harian tertinggi sejak April, mencetus kebimbangan gelombang kedua wabak di negara itu.
Jangkitan Covid-19 di China berjaya ditangani selepas kerajaan menguatkuasakan perintah berkurung awal tahun ini. Bagaimanapun, kluster baharu dikesan di sebuah pasar borong di Beijing baru-baru ini.
Suruhanjaya Kesihatan Nasional China (NCH) berkata 36 kes baharu yang dikesan di Beijing adalah jangkitan tempatan.
Dua jangkitan tempatan dilaporkan di wilayah timur laut Lioning hari ini, dan kontak rapat kes di Beijing, kata pihak berkuasa.
NHC mengesahkan kes pertama di Beijing pada Jumaat.
Beberapa kes baharu dikaitkan dengan pasar Xinfadi, kemudian lebih banyak kes dilaporkan semalam selepas ujian saringan besar-besaran dijalankan.
Pasar tersebut telah ditutup dan beratus anggota polis memakai pelitup muka dan sarung tangan dilihat berada di sana.
Susulan kemunculan kluster baharu itu, pihak berkuasa mengarahkan orang ramai di 11 kawasan perumahan sekitar pasar Xinfadi tidak keluar rumah.
Beberapa pasar lain di Beijing juga ditutup kerana bimbang terhadap keselamatan rantaian makanan.
Media tempatan melaporkan virus Covid-19 dikesan pada papan pemotong yang digunakan untuk memotong ikan salmon import.
Pihak berkuasa yang memantau pasar di Beijing mengarahkan daging segar, daging sejuk beku dan ikan di semua pasar raya, pasar borong dan syarikat khidmat katering di periksa dengan menyeluruh.
Sembilan sekolah dan tadika telah diarahkan ditutup, malah aktiviti sukan, jamuan dan pelancongan merentas wilayah juga dilarang.
Sebilangan besar kes yang dikesan di China beberapa bulan kebelakangan ini dikesan melalui ujian ke atas warga yang pulang dari luar negara. – AFP, 14 Jun, 2020.
Komen