PENIAGA runcit mengalu-alukan kedatangan pelanggan dengan mengamalkan prosedur operasi standard “kebiasaan baharu”.
Selain keperuan untuk penjarakan sosial, pemeriksaan suhu badan dan penggunaan pembasmi kuman, ada segelintir peniaga yag membuat perubahan kepada aspek lain mengikut perniagaan mereka.
Kedai pakaian Giordano di pusat membeli-belah Subang Parade, seorang pekerjanya yang hanya mahu dikenali sebagai Hana berkata, pelanggan tidak dibenarkan mencuba pakaian sejajar dengan SOP kerajaan untuk perniagaan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
“Pelanggan tidak dibenarkan untuk mencuba pakaian, namun sekiranya mereka tidak pasti dengan saiz atau ukuran, mereka hanya boleh ukur pakaian itu di badan tetapi tidak boleh memakainya,” katanya.
Tambahnya bagi polisi pemulanggan semula dan pemindaan pakaian, ia memerlukan pelanggan meninggalkannya dalam kotak selama 48 jam, langkah pencegahan dibuat berdasarkan kajian bahawa virus Covid-19 hanya bertahan dalam masa beberapa jam pada sesuatu permukaan.
“Pelanggan dibenarkan untuk buat pertukaran atau pemindaan namun kita sediakan kotak untuk letakkan pakaian yang dikembalikan dan tidak akan menyentuhnya sehingga 48 jam.
“Kita hanya benarkan ia diletakkan semula untuk pameran atau diambil untuk pindaan saiz selepas 48 jam, yang bermakna pelanggan perlu menunggu,” katanya.
Ia merupakan cara untuk beri jaminan kepada pelanggan bahawa premis perniagaan itu mengambil langkah proaktif dalam menjaga keelamatan dan kesihatan mereka, dan pada pandangan Hana, peraturan itu baik bagi mengekang penularan wabak ketika mengembalikan pelanggan.
Sementara itu, kakitangan kedai kasut Skechers berkata, pelanggan dibenarkan untuk mencuba kasut kerana ia dibalut plastik.
Bagaimanapun, pelanggan juga dinasihatkan untuk gunakan stoking.
Kasut yang dikembalikan atau ditukar juga akan diasingkan untuk disanitasi dan disimpan selama beberapa hari.
Kedai pakaian dalam Sorella, turut tidak membenarkan pelanggan mencuba barangan mereka.
Seorang kakitangan Sorella yang enggan namanya disiarkan memberitahu The Malaysian Insight, seperti Giordani, pelanggan hanya dibenarkan mengukur saiz dengan meletakkan pakaian di badan mereka.
Bagaimanapun katanya, sejak PKPP dikuatkuasakan, pelanggan kurang memilih.
“Pelanggan tidak banyak merungut. Mereka hanya lihat dan beli sahaja dan tidak kisah jika tidak mencubanya.”
Pengguna turut meluahkan rasa gembira apabila dapat kembali ke pusat membeli-belah, namun peraturan baharu itu mengurangkan tabiat membeli-belah mereka.
Bagi pengunjung yang hanya mahu dikenali sebagai Yaya, 40, peraturan baharu itu menjadikan dirinya lebih berdisiplin apabila membeli-belah.
“Saya sangat meminati kasut jadi saya ke Adidas, saya dibertahu hanya boleh mencuba dua kasut dan tidak lebih dari itu, itu menjadikan saya lebih berdisiplin.”
Malah katanya, SOP di kedai Adidas juga sangat bagus kerana mereka akan sanitasi kaki pelanggan sebelum mereka cuba menyarung kasut.
“Apabila kamu mencuba sepasang kasut, mereka akan hantarnya untuk disanitasi,” kata Yaya.
Malaysia mula menguatkuasakan PKPP pada 10 Jun, selepas hampir tiga bulan perintah kawalan pergerakan dan operasi perniagaan dilonggarkan secara berperingkat.
Di bawah PKPP yang berkuatkuasa sehingga 31 Ogos, sekatan lebih banyak dilonggarkan dan lebih banyak sektor, termasul salun kecantikan, kedai gunting rambut dan pendandan rambut dibenarkan kembali beroperasi.
Kebanyakan sektor boleh beroperasi sepenuhnya pada waktu perniagaan biasa manakala perjalanan rentas negeri dan pelancongan domestik dibenarkan.
Bagaimanapun, aktiviti dan sektor yang masih disekat adalah yang melibatkan kontak rapat seperti beberapa jenis sukan, spa dan pusat urut.
Perhimpunan seperti jamuan masih tidak dibenarkan, walaupun perhimpunan di rumah ibadat dibenarkan secara berperingkat dengan had pengunjung dihadkan.– 14 Jun, 2020.
Komen