MENTERI Kesihatan Chile Jaime Manalich meletak jawatan semalam, ketika negara itu dilanda kontroversi angka rasmi kematian akibat pandemik Covid-19.
Chile teruk terjejas akibat wabak itu walaupun sudah lebih sebulan perintah sekatan dikenakan.
Peletakan jawatan Manalich diumumkan Presiden Sebastian Pinera semalam.
Kerajaan secara terbuka berkata lebih 3,000 orang maut akibat Covid-19 sejak kes pertama dikesan di Chile pada 3 Mac lalu.
Bagaimapaun, laporan berita semalam mendedahkan Chile memaklumkan kepada Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) bahawa jumlah sebenar yang maut lebih 5,000 orang.
Pendedahan itu menyebabkan Manalich menerima kecaman.
Timbalan Menteri Kesihatan Paula Daza kemudian menjelaskan perbezaan jumlah kematian itu.
Daza berkata angka yang dimaklumkan kepada WHO itu sebenarnya termasuk kes kematian yang disyaki dan disahkan akibat Covid-19. Manakala laporan harian kerajaan melaporkan kes yang disahkan melalui ujian swab.
Jumaat lalu, Chile melaporkan 6,754 kes baharu dan 222 kematian dalam tempoh 24 jam.
“Situasi di negara kita semakin serius, terutamanya di wilayah metropolitan,” kata pegawai Kementerian Kesihatan, Arturo Zuniga pada Jumaat.
Kes Covid-19 terus naik di Chile walaupun kerajaan sudah mengambil langkah pencegahan sejak Februari, termasuk menutup sempadan negeri dan sekolah.
Perintah berkurung dilaksanakan di ibu kota Santiago yang memiliki tujuh juta penduduknya sejak lebih sebulan lalu, sebelum diikuti bandar besar lain mulai Jumaat iaitu Valparaiso dan Vina del Mar.
Bagaimanapun, ramai rakyat Chile yang berpendapatan rendah tetap keluar bekerja sehingga kes jangkitan melonjak pada pertengahan Mei, menyebabkan kerajaan mengetatkan perintah berkurung. – AFP, 14 Jun, 2020.
Komen