(Petikan wawancara Segmen Garasi Republic@FacebookSuaraAnakCokit)
Dang Suria Zainuddin, Isnin 8 Jun, 10 malam
Wartawan, hos dan kini YouTuber di saluran peribadinya, Cerita Kita Cerita Dang Suria muncul sebagai tamu Garasi Republic pada 8 Jun.
Pada sesi live di Facebook Suara Anak Cokit, Dang Suria berkongsi pengalaman selama dua dekad sebagai orang media.
Namun, pesona utama sepanjang wawancara itu ialah kenyataan Dang Suria mengenai kebimbangannya sebagai seorang ibu.
“Paling saya takut sekarang ialah melihat anak-anak dibesarkan di negara yang penuh dengan sentimen perkauman,” kata Dang Suria.
Selain berkongsi pengalaman melihat kemusnahan Aceh akibat Tsunami 2004 dan musnahnya Beirut dalam Perang Israel Hizbullah pada 2008, Dang Suria melahirkan rasa rimas melihat persekitaran interaksi sosial tanah air.
“Serangan perkauman dan keagamaan menjadi masalah besar dan kita masih membiarkannya,” kata Dang Suria.
Sebagai ibu kepada dua anak remaja, Dang Suria lebih terarah melihat isu domestik yang dianggapnya memerlukan keprihatinan awam untuk mengubahnya.
“Kita membincangkan soal agama dan kaum hingga ke tahap mengkritik satu sama lain dan dilakukan secara terbuka di media sosial tanpa risau kesannya terhadap mentaliti anak-anak kita,” katanya.
Dalam wawancara 75 minit itu juga, Dang Suria mengakui, kawalan media massa arus perdana terhadap masyarakat sudah melalui era kejatuhan.
“Hari ini netizen mempunyai agenda berita dan isu mereka sendiri tanpa perlu lagi melihat apa yang dibawakan media massa,” kata Dang Suria.
Perbincangan di media sosial yang lebih kritis dan terbuka menyebabkan peranan dan agenda maklumat bukan lagi ditentukan oleh integriti berita.
Soal sentimen, kata Dang Suria sudah menjadi sebahagian “fakta” yang diperdebatkan secara terbuka.
Malah, kebebasan untuk mencela dan mengkritik tanpa menghormati perbezaan dan kepelbagaian kaum dan agama di negara kita kini satu perkara biasa.
“Saya kurang berminat pada isu global pada masa ini kerana saya melihat isu perkauman dan perbezaan pendapat yang berbahaya sedang meluas di negara kita sendiri.”
Secara peribadi, Dang Suria beranggapan, Malaysia sedang berdepan gelombang perkauman dan sentimen agama yang bakal memberi kesan buruk sekiranya terus dibiarkan.
Wan Kamaruddin Wan Ibrahim, Selasa 9 Jun, 10.30 malam
Wan Kamaruddin muncul sebagai tamu di Studio Garasi Republik sehari selepas Dang Suria. Reputasi Wan Kamaruddin sebagai hos, pembaca berita dan aktivis kemanusiaan ke Palestin pada 2017, dinantikan netizen.
Apa pun hantaran penonton pada malam itu lebih jenuh bertanyakan peranannya mengendalikan tagline “apa kejadahnya ini semua.”
“Saya fikir melakukan kerja-kerja kewartawanan penyiasatan ada masanya satu kerja gila,” katanya.
Wan Kamaruddin berkongsi pelbagai pengalaman ketika menjadi hos Edisi Siasat pada 2001 hingga 2004.
Pengalaman diancam empat gengster yang muncul di depan bangunan ntv7 dan memburunya kerana mendedahkan skandal menjual sijil cuti sakit antara pengalaman menarik.
Selain itu, impak sebagai hos Edisi Siasat menyebabkan Wan Kamaruddin terpaksa mengehadkan pergerakan peribadinya.
“Selama tiga tahun sebagai hos, saya tidak keluar ke tempat awam dan berjalan sesuka hati kerana bahaya ancaman kumpulan jenayah terancang,” katanya.
Gengster berdendam kerana Edisi Siasat mendedahkan aktiviti jenayah terancang terutama premis judi mesin kuda, sindiket kelab hiburan yang menjual pil khayal kepada remaja serta aktiviti seks di premis karaoke.
“Kami mendedahkan secara audio visual aktiviti pusat mesin kuda terbesar di Taman Medan dan Sea Park hanya beberapa puluh meter daripada Balai Polis,” katanya.
Laporan ini tidak menyenangkan gengster dan pihak berkuasa. Namun, semua pendedahan itu disokong bukti rakaman video dan audio dari kamera tersembunyi.
“Edisi Siasat muncul dengan bukti rakaman visual. Kami ada bukti kukuh dan bersedia ke mahkamah,” katanya.
Bersiaran lebih 500 episod yang dipenuhi laporan pembongkan rasuah, jenayah terancang, pengedaran dadah dan judi mesin kuda, Edisi Siasat turut menerima sokongan awam.
“Penonton bersama kami dalam memerangi pelbagai kes yang merugikan negara dan mencetuskan krisis sosial terutama dadah dan perjudian. Itu sokongan yang menguatkan semangat kami,” katanya ketika diwawancara secara langsung di Facebook Suara Anak Cokit.
Syahril Kadir dan kisah Prebet Adam Jaafar, Rabu 10 Jun 10 malam
Syahril Kadir yang terkenal melalui kolum Facebooknya muncul sebagai tamu ketiga Suara Anak Cokit.
Peminat menantikan sesi bersama wartawan berpengalaman ini untuk berkongsi kisah sebenar di sebalik kejadian amuk Prebet Adam Jaafar.
“Pendedahan buku Konfesi Prebet Adam Jaafar mengubah banyak landskap mengenai fakta sebenar dalam kes amuk bersenjata di Chow Kit pada Oktober 1987,” kata Syahril.
Sebagai wartawan berpengalaman selama 20 tahun dengan fokus mengumpulkan fakta dan pemprofilan jenayah di negara ini, Syahril berkongsi kisah Prebet Adam selama 80 minit bersiaran di Facebook Suara Anak Cokit.
“Penerbitan buku ini dengan niat menjelaskan fakta kes dan menemubual semula prebet Adam, peguamnya Muhammad Shafee Abdullah, bekas Ketua Pengarah Ketenteraman Awam Bukit Aman, Zaman Khas dan Ketua Operasi Medan ATM, Leftenan Jeneral Ghani Abdullah,” kata Syahril.
Penonton terus mendesak Syahril mendedahkan lebih terperinci konspirasi sebenar yang menyebabkan kes amuk ini dikaitkan dengan krisis perlembagaan.
Namun, Syahril kekal fokus mengenai pengakuan Adam yang selari dengan kenyataan bukti serta dokumen kes yang dikongsi Shafe, Zaman Khan dan Ghani.
“Buku ini bermula apabila Adam menghubungi saya melalui telefon untuk berkongsi kisahnya. Saya terbang ke Pulau Pinang dan mewancara Adam,” katanya.
Status Adam sebagai bekas pesakit mental di Tanjung Rambutan menyebabkan Syahril perlu mencari fakta-fakta kukuh untuk mendokong cerita Adam.
“Itu sebab saya menemui semua tokoh penting kes ini. Peguam Adam, pegawai polis dan pegawai ATM yang mengendalikan kes ini,” kata Syahril.
Semua maklumat, katanya dikumpul dan dibukukan dalam Konfesi Prebet Adam dan diterbitkan Dubook Press pada 2018.
“Semua kenyataan Adam 100% tepat setelah dirujuk pada wawancara dan dokumen bukti yang disimpan oleh peguam, pihak polis dan tentera,” katanya.
Semua bukti yang disatukan dalam buku bagi membuktikan tuduhan punca Adam mengamuk kerana adiknya mati dibunuh Sultan Almarhum Sultan Johor, Sultan Iskandar Sultan Ismail adalah palsu.
“Kes adik Adam dibunuh ketika menjadi ‘caddy’ golf satu fitnah kepada Almarhum Sultan Iskandar,” kata Syahril.
Program Wawancara@GarasiRepublic bersama Syahril Kadir akan bersiaran setiap Selasa dan Rabu jam 10 malam di Facebook Suara Anak Cokit. – 14 Jun, 2020.
* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen