JERMAN, Perancis, Itali dan Belanda menandatangani satu perjanjian dengan kumpulan farmaseutikal AstraZeneca bagi memberi jaminan untuk membekalkan 300 juta dos vaksin Covid-19 kepada Kesatuan Eropah (EU).
Sumber kerajaan Jerman sebelum ini berkata vaksin virus itu mungkin siap pada hujung tahun ini.
Kementerian Kesihatan Jerman berkata vaksin itu perlu diedarkan kepada semua anggota EU bergantung kepada populasi negara masing-masing.
Menurut Bank Dunia, EU mempunyai seramai 447 juta penduduk.
Suruhanjaya Eropah pada Jumaat mempertahankan ideanya untuk menggesa negara EU mendapatkan jaminan untuk mendapatkan vaksin menerusi satu perjanjian awal.
Bayaran awal dapat membantu pihak makmal melabur dalam pengeluaran secara besar-besaran walaupun ujian klinikal terhadap manusia masih belum diketahui keputusannya dalam masa terdekat.
Kumpulan farmaseutikal utama saling berlumba untuk membangunkan vaksin Covid-19 yang setakat ini membunuh lebih 417,000 dan menjangkiti lebih 7.4 juta orang di seluruh dunia. – AFP, 13 Jun, 2020.
Komen