TIDAK ada sebarang usul untuk membincangkan laporan Suruhanjaya Penyiasatan Diraja (RCI) mengenai kerugian forex Bank Negara Malaysia (BNM), kata Speaker Dewan Rakyat Pandikar Amin Mulia.
Beliau berkata, pihak pembangkang harus faham setiap perbahasan perlu diusulkan terlebih dahulu.
“Setiap perbahasan patut dimulakan dengan usul. Tak ada usul dari pembangkang mahupun kerajaan. Jadi, macam mana nak bahas?” katanya dalam sidang media di Parlimen.
Bila ditanya mengenai persoalan pemimpin pembangkang mengenai kenapa laporan itu dibentangkan pada hari terakhir sidang Dewan Rakyat, Pandikar berkata beliau hanyalah speaker.
Dalam laporannya, RCI menggesa polis menyiasat ahli lembaga pengarah Bank Negara Malaysia, Jabatan Audit Negara dan Kementerian Kewangan.
Sebelum ini, bila laporan RCI dibentangkan, Lim Guan Eng (DAP-Bagan) berkata, laporan itu mestilah dibahaskan kerana ia melibatkan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan bekas menteri kewangan Anwar Ibrahim.
“Saya nak dapatkan kepastian kerana kita tidak ada masa bincangkan satu laporan RCI yang begitu serius buat kali pertama syor ambil tindakan ke atas perdana menteri dan menteri kewangan masa itu.
“Adakah akan dibahaskan? Saya nak dapatkan kepastian bolehkah masa diberikan untuk dibincangkan perkara ini? Bolehkah kita bahaskan perkara ini?” kata Guan Eng di Dewan Rakyat hari ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Azalina Othman Said berkata beliau akan membuat keputusan sama ada akan dibahaskan di Parlimen atau tidak.
RCI juga menyarankan Dr Mahathir dan Anwar disiasat kemungkinan berlakunya jenayah pecah amanah dan penipuan pada 1990-an.
RCI akan memutuskan sama ada terdapat percubaan untuk menyembunyikan fakta dan maklumat mengenai kerugian, termasuk pengeluaran kenyataan oleh pegawai tinggi yang dikatakan mengelirukan kabinet, Dewan Rakyat dan orang awam.
Empat puluh dua dokumen juga dikemukakan semasa prosiding tersebut.
Seramai 25 saksi termasuk Dr Mahathir, Anwar Ibrahim, dan bekas menteri kewangan Daim Zainuddin dipanggil memberi keterangan pada pendengaran selama lapan hari. – 30 November, 2017.
Komen