KKMM pertimbang tambah masa siaran TV pendidikan 


Pengajaran dan pembelajaran (PdP) dari rumah semakin penting disebabkan pandemik wabak Covid-19 yang menyebabkan hanya pelajar yang bakal menduduki peperiksaan utama dibenarkan kembali ke sekolah pada 24 Jun ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Jun, 2020.

KEMENTERIAN Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) mempertimbangkan untuk menambah masa siaran program televisyen pendidikan (TV Pendidikan), termasuk membuka saluran televisyen baharu.

Menterinya, Saifuddin Abdullah berkata ia ekoran aspek pengajaran dan pembelajaran (PdP) dari rumah semakin penting disebabkan pandemik wabak Covid-19 yang menyebabkan hanya pelajar yang bakal menduduki peperiksaan utama dibenarkan kembali ke sekolah pada 24 Jun ini.

Katanya, perbincangan bagi menambah masa siaran yang ketika ini mengambil masa dua jam sehari menerusi  saluran Radio Televisyen Malaysia (RTM) TV Okey mulai 6 April lepas, sedang dilakukan dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

“Apa yang dipanggil ‘Home Based Learning’ ini berada di bawah KPM dan KKMM telah memberi kerjasama dengan menyiarkannya di saluran TV Okey. Ketika ini kita berbincang untuk menambah masa siaran sama ada menggunakan platform yang sama atau membuka satu lagi saluran khas bagi TV Pendidikan,” katanya. 

Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sumbangan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) MYNIC Berhad kepada Yayasan Pahang dan 210 keluarga asnaf hari ini. – Bernama, 13 Jun, 2020.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen