PIHAK berkuasa akan mengambil tindakan terhadap mereka yang memalsukan keputusan ujian saringan Covid-19, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.
“Kita menggalakkan orang ramai untuk tampil dan membuat laporan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) atau polis jika berasa curiga,” katanya pada sidang media harian perkembangan Covid-19 di Putrajaya hari ini.
Tindakan akan diambil mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
“Kita akan mengambil tindakan dan begitu juga polis,” katanya.
Noor Hisham berkata KKM mempunyai data tentang maklumat semua ujian yang dijalankan sama ada di kemudahan kesihatan awam dan swasta.
Beliau mengulas tentang tindakan polis terhadap sindiket memalsukan keputusan ujian Covid-19.
Ketua Polis Kuala Lumpur Mazlan Lazim berkata dua lelaki Bangladesh ditahan dalam satu serbuan di Jalan Alor di Kuala Lumpur pada 5 Jun lalu.
Berhubung kes tukang gunting rambut Pakistan yang didapati positif Covid-19, Dr Noor Hisham berkata kontak rapat dan pelanggannya telah dikesan.
“Tukang gunting rambut itu membuat perkhidmatan rumah ke rumah yang tidak dibenarkan sebelum prosedur operasi standard dikeluarkan.
“Dia memberi perkhidmatan itu sebelum keputusan ujian saringannya diketahui,” katanya.
Setakat ini, tiada kes berkait kluster itu kerana hanya satu saja kes positif. – 13 Jun, 2020.
Komen