Gelang pemantauan tidak boleh dialih sepanjang kuarantin Covid-19


Ragananthini Vethasalam

Gelang berkenaan adalah khusus untuk mereka yang melakukan perjalanan dari luar negara dan telah didapati negatif Covid-19. Mereka juga akan diberikan surat kebenaran untuk menjalani pengawasan dan kuarantin di rumah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Jun, 2020.

MEREKA yang masih berada di bawah pengawasan rumah setelah kembali dari luar negara tidak boleh mengalihkan gelang tangan mereka sehingga tempoh kuarantin mereka berakhir, kata Dr Noor Hisham Abdullah hari ini.

Gelang tersebut, yang bertujuan untuk proses pemantauan, hanya boleh dialihkan oleh pegawai kesihatan yang sah, kata ketua pengarah kesihatan itu.

Gelang berkenaan adalah khusus untuk mereka yang melakukan perjalanan dari luar negara dan telah didapati negatif Covid-19. Mereka juga akan diberikan surat kebenaran untuk menjalani pengawasan dan kuarantin di rumah.

Pemakainya turut diarahkan untuk memuat turun aplikasi My Sejahtera.

“Gelang harus dipakai sepanjang masa pengawasan rumah. Tindakan akan diambil terhadap individu yang melepaskan gelang tangan sebelum akhir tempoh pengawasan dan pemerhatian,” tambahnya.

Mereka yang melanggar perintah itu boleh dikenakan hukuman di bawah Seksyen 24 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 atau Akta 342.

Beliau juga mengingatkan mereka yang dikuarantin di rumah supaya mematuhi perintah kementerian sepanjang tempoh itu, selain perlu mengasingkan diri daripada keluarga, menjaga kebersihan dan tidak berkongsi barang peribadi dengan keluarga yang lain.

Anggota keluarga juga dingatkan untuk memastikan supaya individu tersebut mematuhi SOP.

Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob sebelum ini mengatakan bahawa mereka yang melepaskan gelang tangan mereka akan dikenakan kompaun RM1,000 dan boleh berdepan pendakwaan. – AFP, 13 Jun, 2020.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen