MALAYSIA mencatatkan satu lagi kematian akibat Covid-19 membabitkan seoran wanita berusia 96 tahun di Sabah, dipercayai mangsa paling tua di negara ini.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdulllah berkata wanita itu meninggal dunia di rumahnya dan mangsa dikesan mempunyai virus maut itu.
“Sumber jangkitan masih lagi disiasat,” katanya dalam sidang media harian berkenaan perkembangan Covid-19 di Putrajaya.
Kematian terbaru itu menjadikan keseluruhan korban seramai 120 orang.
Sebanyak 43 kes baharu direkodkan setakat hari ini, menjadikan keseluruhan kes kepada 8,445.
Noor Hisham berkata lima daripada 43 kes itu merupakan kes import iaitu empat kes membabitkan penduduk tempatan dan seorang penduduk tetap.
38 kes melibatkan kes penularan tempatan dengan 23 daripadanya warga asing dan 15 lagi penduduk tempatan.
Sejumlah 21 kes melibatkan warga asing di pusat tahanan imigresen di Bukit Jalil yang dipindahkan ke Akademi Imigresen di Port Dickson.
Dua lagi kes warga asing dikesan di pasar borong di Penampang Sabah dan seorang pekerja ladang di Temerloh, Pahang.
Bagi kes melibatkan rakyat tempatan, lima kes dikesan di Negeri Sembilan dengan tiga daripadanya dikesan di sekolah tahfiz.
Satu lagi kes melibatkan seorang penjawat awam manakala satu lagi merupakan kontak rapat kes positif.
Seramai 143 pesakit pulih dan dibenarkan pulang hari ini. Ini menjadikan kes pulih terkumpul sebanyak 7,311 kes.
Empat pesakit masih dirawat di Unit Rawatan Rapi dan kes aktif sebanyak 1,014. – 13 Jun, 2020.

Komen