KEPUTUSAN Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung kerugian dialami Bank Negara Malaysia (BNM) akibat dagangan mata wang asing pada 1990-an hanya akan menguatkan lagi Pakatan Harapan (PH), kata Nurul Izzah Anwar.
Naib presiden PKR itu berkata keputusan RCI yang mengesyorkan polis menyiasat Anwar Ibrahim tidak akan melemahkan semangat mereka untuk terus melawan “rejim kleptokrasi” Perdana Menteri Najib Razak.
“
Nurul Izzah berkata RCI itu sendiri bertujuan untuk mengalihkan pandangan rakyat daripada skandal terbesar dalam negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dikaitkan dengan MO1.
“Hari gelap dalam sejarah Malaysia jika pesalah 1MDB terlepas dan sebaliknya sejarah ingin ditulis semula dengan mengambil tindakan kepada pemimpin pembangkang.
“Rakyat Malaysia tidak akan berdiam diri tentang ini. Kita tidak akan biarkan pembulian dan ketidakadilan ini,” katanya.
Sebelum ini Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Abdul Rahman Dahlan mengesahkan MO1 merujuk kepada perdana menteri.
Laporan RCI yang dikeluarkan hari ini berkata, bekas penasihat BNM Nor Mohamed Yackop bertanggungjawab terhadap kerugian urus niaga mata wang asing itu.
Manakala RCI turut mencadangkan, polis menyiasat Dr Mahathir Mohamad, bekas menteri kewangan Anwar, ahli lembaga pengarah BNM, Jabatan Audit Negara dan Kementerian Kewangan.
Hari ini PH berkata, keputusan untuk tidak bincang atau bahas laporan RCI di Dewan Rakyat menunjukkan ia merupakan “langkah politik”.
Ketua Pembangkang Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata mengapa laporan RCI hanya dibentangkan dan diserahkan pada pembangkang pada pagi hari terakhir sidang Dewan Rakyat tahun ini.
“Ini bermotif politik. Laporan ini sudah siap dan dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong enam minggu lalu, sepatutnya diberikan kepada kami lebih awal. Kenapa tidak berlaku? Hari ini ketika kami meminta penemuan dibahaskan, permintaan itu ditolak.
“Ini menunjukkan apa yang kita andaikan sebelum ini mengenai RCI adalah benar. Ia langkah politik daripada isu yang ditimbulkan semula selepas banyak tahun berlaku untuk mengenakan musuh politik,” kata presiden PH itu pada sidang media di Parlimen hari ini. – 30 November, 2017.
Komen