Kes baharu Covid-19 di Beijing, 11 kawasan kena perintah pengurungan


Pihak berkuasa menutup pasar daging Xinfandi di selatan Beijing selepas kes baharu Covid-19 dikesan di lokasi itu. – Gambar AFP, 13 Jun, 2020.

SEBAHAGIAN kawasan di Beijing dikenakan perintah pengurungan selepas enam kes baharu Covid-19 dikesan, sekali gus membangkitkan kebimbangan penularan semula dalam kalangan penduduk tempatan.

Penduduk di 11 kawasan kediaman di daerah Feijing, selatan Beijing dilarang meninggalkan rumah mereka selepas kebanyakan kes baharu itu dikaitkan dengan sebuah pasar berhampiran.

Kes Covid-19 di Beijing itu yang pertama direkodkan selepas dua bulan bebas kes baharu.

Penularan wabak maut di China dikekang dengan kawalan pengurungan secara besar-besaran selepas kes pertama dikesan di Wuhan pada tahun lalu.

Langkah itu ditarik semula selepas kadar kes turun mendadak dan kebanyakan kes baharu yang direkodkan dalam tempoh beberapa bulan lepas melibatkan rakyat China yang tinggal di luar negara.

Antara enam kes baharu yang diumumkan hari ini melibatkan tiga pekerja pasar Xinfandi, seorang pengunjung pasar dan dua pekerja Pusat Kajian Daging China.

Seorang daripada pekerja itu mengunjungi pasar itu pada minggu lalu.

Pihak berkuasa menutup pasar berkenaan dan sebuah lagi pasar makanan laut yang dikunjungi salah seorang pesakit, ditutup sementara untuk proses pembasmian.

Ratusan polis dikerah berkawal di dua-dua pasar berkenaan.

Sembilan sekolah dan pusat asuhan berhampiran turut ditutup. – AFP, 13 Jun, 2020.    


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen