LEBIH banyak masjid akan dibenarkan dibuka semula di Wilayah Persekutuan susulan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang berjaya dilakukan di masjid yang mendapat kebenaran mengadakan solat jemaah, kata Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob.
Ismail Sabri berkata beliau dimaklumkan oleh polis bahawa semua masjid terbabit mematuhi garis panduan ketika solat Jumaat secara berjemaah semalam.
“Semalam kali pertama masjid di Wilayah Persekutuan dibenarkan mengadakan solat Jumaat berjemaah, iaitu seramai satu pertiga daripada jumlah jemaah dibenarkan masuk. Tiada pelanggaran SOP berlaku.
“Kerajaan akan membincangkan kebenaran membuka semula lebih banyak masjid di Wilayah Persekutuan,” katanya pada sidang akhbar harian hari ini.
Semalam, Menteri Hal Ehwal Agama Zulkifli Mohamad al-Bakri berkata semua masjid dan surau di Wilayah Persekutuan akan dibenarkan mengadakan solat Jumaat dan solat jemaah, tetapi dengan jumlah satu pertiga jemaah.
Katanya, kelonggaran sekatan itu terhad kepada masjid dan surau di kawasan zon hijau di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan. – 13 Jun, 2020.
Komen