RAKYAT Malaysia kini boleh melakukan perjalanan ke Sarawak tanpa perlu mendapatkan kebenaran daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana (JPBN) negeri itu, kata Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob.
Ismail Sabri berkata bahawa tidak ada keperluan bagi rakyat Malaysia untuk jalani ujian Covid-19 sebelum memasuki Sarawak.
“Ikuti prosedur operasi standard (SOP) dan muat turun aplikasi telefon MySejahtera.”
“Tidak perlu lakukan pemeriksaan swab atau saringan kesihatan. Pengunjung akan diambil sampel secara rawak semasa tiba di pintu masuk utama negeri, sama ada melalui udara, darat, atau laut,” kata Ismail Sabri dalam sidang media hari ini.
Malaysia memasuki hari ketiga Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) setelah sekatan ketat selama hampir tiga bulan yang berakhir pada 9 Jun.
Di bawah PKPP, perjalanan rentas negeri dan pelancongan domestik dibenarkan, selain lebih banyak aktiviti dan sektor ekonomi termasuk kedai gunting rambut dan pusat kecantikan dibenarkan untuk beroperasi.
Aktiviti yang memerlukan kontak rapat termasuk beberapa jenis sukan masih dilarang.
Polis akan terus memantau kepatuhan terhadap langkah-langkah kesihatan dan keselamatan bagi mencegah Covid-19 menular semula, seperti penjarakan sosial dan had jumlah orang ketika berkumpul. – 13 Jun, 2020.
Komen