LIGA Perdana Inggeris yang akan bersambung semula minggu depan, di tengah penularan Covid-19 yang belum reda, akan menjadi satu pengalaman baharu yang aneh kepada pemain bola sepak dan peminatnya, lapor AFP.
Daripada potongan kadbod bentuk orang untuk memenuhi kerusi yang kosong serta “berkumpul” dalam talian melalui Zoom, peminat bola sepak dipaksa menyesuaikan diri dengan kelaziman baharu menikmati sukan kegemaran mereka.
Liga bola sepak Jerman, Bundesliga yang disambung kembali bulan lalu terasa hilang nyawa dan nampak seperti perlawanan pasukan simpanan, kata laporan itu. Liga itu disambung tanpa penonton di stadium yang sunyi sepi sehingga suara pemain di padang boleh kedengaran.
Bekas pengurus Arsenal Arsene Wenger yakin Liga Perdana Inggeris sebagai produk akan hilang seri yang selama ini diwarnai oleh penontonnya.
“Apa yang menjadikannya istimewa di England ialah cara penonton bereaksi terhadap permainan (di padang),” kata Wenger.
“Inilah negara terbaik di dunia dalam soal respons peminat bola sepak terhadap apa yang berlaku di padang.
“Bola sepak tanpa penonton tidak lengkap… pemain hanya satu bahagian. Kita rasa kehilangan bahagian yang satu lagi,” tambahnya.
Pengurusan Liga Perdana menubuhkan sebuah kumpulan penasihat penyiaran untuk membantu mewujudkan persekitaran dan suasana seperti biasa dalam kelaziman baharu perlawanan bola sepak tanpa penonton.
Ada kelab yang akan menggunakan skrin video di stadium yang memaparkan penyokong yang menonton secara langsung dalam talian.
Di Denmark, ratusan penonton dipaparkan pada skrin gergasi di satu sisi stadium semasa perlawan antara AGF Aarhus dan Randers baru-baru ini.
Ada juga kelab yang akan menggunakan rakaman sorakan penonton untuk merayakan jaringan gol pasukan tuan rumah, selain pertukaran pemain, dan ketika tiupan wisel penamat.
Ada juga kelab yang akan “menghiasi” tempat duduk penonton di bahagian bawah dengan bendera dan kain rentang, untuk mengurangkan kesan pemandangan stadium yang kosong.
Beberapa pasukan Liga Perdana mendapat ilham daripada kelab Borussia Moenchengladbach dalam Bundesliga yang menggunakan potongan kadbod imej manusia untuk memenuhi 13,000 kerusi di stadium.
Brighton misalnya menawarkan penyokongnya untuk mempunyai potongan kadbod mereka sendiri, dengan dana daripada tawaran itu disalurkan untuk kebajikan.
West Ham dan Wolves juga dilaporkan memberi peluang sama kepada penyokongnya.
Aston Villa meminta penyokong mengirimkan bendera untuk memenuhi kerusi di gelanggangnya di Villa Park.
Dalam pada itu, penonton juga tampil dengan pelbagai idea sendiri untuk menyesuaikan diri dengan kebiasaan baharu menikmati bola sepak di tengah wabak.
Penyokong Leicester Paul Rains membangunkan laman web untuk ahli kelab penyokong menonton bersama dan melalui pengalaman “bersama” secara maya.
Beliau memberitahu BBC akan menggunakan aplikasi Zoom untuk “pergi minum bersama” sebelum dan selepas perlawanan.
“Saya akan pasang sorakan yang biasa sepanjang permainan. Saya akan buka ruang sembang dalam talian untuk berborak mengenai perlawanan termasuk bersembang selepasnya,” katanya. – 13 Jun, 2020.
Komen