AS lapor 839 korban Covid-19 dalam 24 jam


AS terus merekodkan sekitar 20,000 kes baharu Covid-19 setiap hari dan bergelut untuk menurunkan kadar jangkitan dan korban yang berlaku di seluruh negara. – Gambar AFP, 13 Jun, 2020.

AMERIKA Syarikat merekodkan 839 kematian berkaitan Covid-19 dalam tempoh 24 jam, menjadikan jumlah korban wabak di negara itu kepada 114,613, menurut data semalam dikumpul Johns Hopkins University.

Negara kuasa besar ekonomi dunia itu kini menjadi negara paling teruk terjejas dengan kes jangkitan dan korban tertinggi dilaporkan- 2,044,572 kes pada jam 8.30 pm Jumaat, kata data dikumpul universiti itu.

AS terus merekodkan sekitar 20,000 kes baharu Covid-19 setiap hari dan bergelut untuk menurunkan kadar jangkitan dan korban yang berlaku di seluruh negara.

Di kawasan pedalaman negara itu, jumlah kes turut melonjak berbanding sebulan lalu.

“Penting untuk diingatkan yang situasi ini tidak pernah berlaku. Dan wabak ini masih belum berakhir,” kata Robert Redfield, pengarah Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit kepada media, semalam.

Pentadbiran Donald Trump berkata memang wujud lonjakan kes di beberapa negeri tetapi bertegas tidak akan mengenakan perintah berkurung sekiranya gelombang kedua wabak meledak. – AFP, 13 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen