Keputusan tidak bahas hasil RCI bermotif politik, kata Pakatan 


Amin Iskandar

Kata Ketua Pembangkang Wan Azizah Wan Ismail, tindakan untuk tidak bahas atau bincang laporan RCI jelas adalah langkah politik yang ditimbulkan semula selepas banyak tahun berlaku untuk mengenakan musuh politik. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 30 November, 2017.

KEPUTUSAN untuk tidak bincang atau bahas laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung kerugian dialami Bank Negara Malaysia (BNM) akibat dagangan mata wang asing pada 1990-an di Dewan Rakyat menunjukkan ia merupakan “langkah politik,” kata Ketua Pembangkang Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh itu mempersoalkan mengapa laporan RCI hanya dibentangkan dan diserahkan pada pembangkang pada pagi hari terakhir sidang Dewan Rakyat tahun ini.

“Ini bermotif politik. Laporan ini sudah siap dan dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong 6 minggu lalu, sepatutnya diberikan kepada kami lebih awal. Kenapa tidak berlaku? Hari ini ketika kami meminta penemuan dibahaskan, permintaan itu ditolak.

“Ini menunjukkan apa yang kita andaikan sebelum ini mengenai RCI adalah benar. Ia langkah politik daripada isu yang ditimbulkan semula selepas banyak tahun berlaku untuk mengenakan musuh politik,” kata presiden Pakatan Harapan (PH) itu pada sidang media di Pusat Media Parlimen hari ini.

Laporan dikeluarkan hari ini berkata, bekas penasihat BNM Nor Mohamed Yackop bertanggungjawab terhadap kerugian urusniaga itu.

Manakala RCI turut mencadangkan polis menyiasat Dr Mahathir Mohamad, bekas menteri kewangan Anwar Ibrahim, ahli lembaga pengarah BNM, Jabatan Audit Negara dan Kementerian Kewangan.

Sementara itu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng terkejut laporan RCI dibentangkan di hari terakhir sidang Parlimen.

“Laporan ini telah membuat beberapa syor mengejutkan dan apabila saya bangun meminta laporan itu dibahas, menteri berkata keputusan itu akan dibuat kemudian.

“Saya berharap sesuatu yang penting seperti ini akan diberi ruang dan tidak ditutup supaya ia boleh diputuskan kemudian oleh kerajaan persekutuan. Laporan itu mesti dibahaskan di Parlimen,” katanya.

Guan Eng berkata, syor yang dibuat RCI dalam laporan itu sangat penting dan memberi kesan yang besar kepada Malaysia.

“Penemuan ini mencadangkan tindakan diambil terhadap bekas perdana menteri, bekas menteri kewangan, BNM dan bekas gabenor, semua ahli lembaga pengarah, ketua audit negara, Khazanah dan kementerian lain serta kakitangan mereka. Hampir seluruh sistem kewangan terlibat,” kata Guan Eng.

Ahli Parlimen Bagan itu berkata, beliau menimbulkan perkara itu di Parlimen pada 1994 dan pada masa itu jumlah yang dilaporkan hanyalah RM10.7 bilion.

“Sekarang jumlah yang dilaporkan ialah RM31.5 bilion. Sekarang kita lihat ada angka yang tidak dilaporkan di Parlimen ketika itu.

“Bagaimana RM21 bilion disembunyikan oleh akaun BNM atau mana-mana akaun lain? Ini menimbulkan persoalan yang serius,” katanya.

Menurut Guan Eng, walaupun angka itu dilunaskan dalam tempoh masa 10 tahun, ia masih tidak masuk akal.

“Tidak mudah untuk melunaskan RM20 bilion walaupun dalam tempoh 10 tahun. Ia akan dikesan oleh pemerhati kewangan antarabangsa. Bagaimana mungkin ia dilakukan sehingga pakar antarabangsa tidak menyedarinya.

“Sekiranya ia dilakukan dalam tempoh 10 tahun, kenapa tidak ada saranan untuk mendakwa perdana menteri dan menteri kewangan pada 2004? Jangan beritahu saya perdana menteri pada masa itu tidak tahu? Adakah anda mahu ambil tindakan terhadap terhadap Pak Lah?” katanya merujuk kepada perdana menteri ke-5, Abdullah Ahmad Badawi.

“Apakah ada konspirasi untuk sembunyikan maklumat? Jadi apa jaminan ada maklumat yang disembunyikan dalam skandal sekarang? Bagaimana jumlah wang yang begitu besar dapat disembunyikan?” soalnya. – 30 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen