SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mencari bekas pegawai kanan kepada seorang bekas menteri bagi membantu siasatan kes, kata agensi anti rasuah.
Dalam satu kenyataan hari ini, SPRM berkata lelaki itu Mohd Saifullah Mohd Minggu @ Mohd Hisham, 29, mempunyai alamat terakhir di Semporna, Sabah.
“Sehubungan itu, orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai Mohd Saifullah diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Penolong Pesuruhjaya Mohd Fairul Aswan Salleh di talian 013-520 8426 / 03-8870 0562 atau emel ke alamat [email protected],” kata kenyataan itu.
Semakan The Malaysian Insight menunjukkan Saifullah pernah berkhidmat sebagai setiausaha sulit kanan kepada bekas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Mohamaddin Ketapi.
Kenyataan tersebut bagaimanapun tidak menyebut kes yang sedang disiasat.
Semalam, SPRM mendapatkan perintah tahanan reman terhadap tiga pengarah sebuah syarikat berhubung kontrak promosi pengiklanan bernilai lebih RM90 juta kelolaan sebuah agensi kerajaan pada tahun lalu.
Mereka ditahan reman sehingga Ahad ini.
Sumber dilaporkan berkata syarikat berkenaan telah mengemukakan dokumen dan maklumat palsu untuk tender kontrak tersebut.
Syarikat itu juga dikatakan tidak memiliki kelayakan serta gagal melepasi penilaian teknikal dan kewangan tetapi mendapat kontrak berkenaan dengan merasuah orang dalam.
The Malaysian Insight difahamkan kontrak berkenaan ada kaitan dengan Tourism Malaysia.
Awal tahun ini, sebuah portal industri periklanan mempersoalkan kontrak RM90 juta yang diberikan kepada sebuah syarikat yang didakwa tidak berpengalaman untuk mengendalikan kempen promosi Tahun Melawat Malaysia 2020.
Semalam, SPRM dalam kenyataannya juga menyebut mereka telah mengenal pasti pegawai agensi kerajaan yang terlibat.
Ia juga menjangka akan membuat beberapa lagi tangkapan melibatkan individu yang bersekongkol dengan tiga pengarah syarikat itu. – 12 Jun, 2020.
Komen