SURUHANJAYA Siasatan Diraja (RCI) terhadap skandal forex Bank Negara Malaysia (BNM) yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini mengatakan bekas menteri kewangan Daim Zainuddin melanggar undang-undang jika tidak mengetahui urusniaga pada 1990-an itu.
Menurut laporan itu, BNM di bawah tanggungjawab Daim yang menjadi menteri kewangan bermula 14 Julai 1984 hingga 15 Mac 1991.
“Kenyataan olehnya adalah bertentangan dengan kehendak peruntukan undang-undang mengenai peranan menteri kewangan berkaitan dengan BNM.
“BNM jelas disenaraikan sebagai satu institusi di bawah tanggungjawab menteri kewangan,” menurut laporan itu.
Menurut laporan RCI, Daim dalam kenyataannya semasa prosiding mendakwa sebagai menteri kewangan, beliau tidak mempunyai kewajipan untuk mengawasi operasi BNM atau memberi taklimat secara berkala kepada perdana menteri atau Kabinet mengenai operasi bank pusat itu.
“Beliau menafikan mengetahui dan/atau pernah dimaklumkan mengenai pembabitan BNM dalam urusan niaga forex, jenis urus niaga forex, tujuan urusan forex, kerugian tahun 1988 dan 1989 atau sebarang perubahan dasar BNM dalam urusan forex.
“Beliau mendakwa pemerhatian audit daripada Ketua Audit Negara mengenai urusan forex BNM tidak pernah dibawa kepada perhatiannya,” kata laporan bertajuk bertajuk Suruhanjaya Siasatan Untuk Menyiasat Kerugian Urus Niaga Mata Wang Asing Oleh Bank Negara Sekitar Tahun 1990 an itu.
Laporan itu berkata, RCI mendapati jika Daim benar-benar tidak mempedulikan hal ehwal BNM yang menyebabkan kerugian berbilion ketika tempoh perkhidmatannya, maka beliau gagal dengan serius dalam tugas berkanunnya kepada negara.
Menurut laporan itu, jika Daim lebih bertanggungjawab dan menjalankan penyeliaan yang lebih teliti, urusan forex yang berlebihan atau spekulasi boleh dihentikan lebih awal dan kerugian yang ditanggung akan kurang atau terkawal.
“Dengan membiarkan BNM bertindak sendiri ke atas urus niaga tukaran mata wang asingnya, IW23 (Daim) telah meninggalkan, menyokong dan bersubahat dengan tindakan CBT (kesalahan jenayah pecah amanah) IW17 (Nor Mohamed Yakcop),” kata laporan itu.
Laporan RCI hari ini juga berkata, BNM mengalami RM31.5 bilion dalam urusniaga pada 1992 hingga 1994 itu.
Laporan itu juga berkata, bekas penasihat BNM Nor Mohamed bertanggungjawab terhadap kerugian urusniaga itu.
Manakala RCI turut mencadangkan, polis menyiasat Dr Mahathir Mohamad, bekas menteri kewangan Anwar Ibrahim, ahli lembaga pengarah BNM, Jabatan Audit Negara dan Kementerian Kewangan. – 30 November, 2017.
Komen