RCI mahu Anwar disiasat kerana 'menipu Kabinet'


Amin Iskandar

Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mencadangkan satu siasatan dibuat bagi mengesahkan kesalahan Anwar mengikut Seksyen 417 dan 418 Kanun Keseksaan kerana menipu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 November, 2017.

ANWAR Ibrahim patut disiasat kerana bertanggungjawab mengelirukan Kabinet dan Parlimen mengenai kerugian sebenar urusniaga matawang asing (forex) yang ditanggung Bank Negara Malaysia (BNM) pada 1990-an, kata Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) hari ini.

Dalam laporan yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini, RCI mencadangkan satu siasatan dibuat bagi mengesahkan kesalahan Anwar mengikut Seksyen 417 dan 418 Kanun Keseksaan kerana menipu.

“Pemberian gambaran yang salah ini meliputi memaklumkan kepada Kabinet pada 6 April 1994 terdapat kerugian atas kertas RM9 bilion dalam tahun 1992.

“Sungguhpun beliau mengetahui kerugian sebenar urus niaga forex pada 1992 adalah RM12.353 bilion seperti tercatat dalam surat Ishak Tadin kepada beliau,” kata laporan bertajuk “Suruhanjaya Siasatan Untuk Menyiasat Kerugian Urus Niaga Mata Wang Asing Oleh Bank Negara Sekitar Tahun 1990-an” itu.

Anwar pada ketika ini menjalani hukuman penjara selama lima tahun sejak 2015 kerana didapati bersalah meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Laporan itu juga mendedahkan, Anwar membuat keputusan berkenaan pengolahan perakaunan bagi untung rugi, jual beli saham dan pengeluaran surat jaminan bagi membolehkan Ketua Audit Negara mengeluarkan sijil audit bersih bagi Laporan Tahunan BNM 1993.

Menurut laporan itu, dengan mengemukakan laporan tahunan kepada Kabinet dan tidak mendedahkan perihal sebenar, Anwar dengan sengaja menyebabkan Kabinet meluluskan Laporan Tahunan 1993 untuk diwartakan dan dikemukakan kepada Parlimen.

“Kabinet mengambil maklum bahawa BNM sepatutnya boleh dipuji kerana berjaya mengurangkan kerugian dalam urus niaga pertukaran mata wang asing daripada RM9 bilion kepada RM5.7 bilion.

“Adakah Kabinet akan meluluskan Laporan Tahunan itu jika tidak dikelirukan adalah menjadi persoalan fakta yang perlu disiasat seterusnya,” kata laporan itu.

Menurut RCI terdapat keperluan bagi siasatan lanjut sama ada “penipuan” itu menyebabkan atau besar kemungkinan menyebabkan kerosakan atau kemudaratan kepada sesiapa sahaja dari segi tubuh, minda, reputasi atau harta. – 30 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen