Tiada pelan suntik RM5 bilion kepada Malaysia Airlines, kata Tengku Zafrul


Diyana Ibrahim

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata beliau tidak pernah mendengar mengenai perancangan menyuntik dana sehingga RM5 bilion kepada Malaysian Airlines seperti dilaporkan Bloomberg. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 12 Jun, 2020.

PUTRAJAYA tiada rancangan untuk menyuntik dana sehingga RM5 bilion kepada Malaysia Airlines Berhad seperti yang dilaporkan media antarabangsa, Bloomberg, kata Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz.

“Sebagai ahli lembaga pengarah Khazanah Nasional, ini pertama kali saya dengar laporan ini. 

“Biarpun saya diminta untuk tidak memberi sebarang komen mengenai hal ini, namun saya akan memberi jawapan jujur. Saya tidak pernah mendengar mengenai perkara itu. 

“Tak pernah saya dengar pengerusi MAS, ahli lembaga atau ketua pengarah Khazanah mereka akan letak duit kepada MAS,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat KWSP di Kuala Lumpur, hari ini.

Jelas beliau, walaupun pelan itu terserah pada Khazanah, namun sebagai Kementerian Kewangan sepatutnya maklum, sekiranya suntikan dana seumpama itu ada dalam perancangan.

Semalam, Bloomberg melaporkan Khazanah akan mengkaji kemungkinan untuk menyuntik dana RM5 bilion kepada MAS bagi membantu syarikat itu yang terjejas akibat Covid-19.

Laporan yang memetik sumber menyebut syarikat penerbangan nasional itu akan menggunakan dana berkenaan untuk meneruskan operasinya.

Sumber juga dipetik berkata suntikan tunai itu akan dilaksanakan dalam beberapa minggu akan datang, jika diluluskan. 

 

MAB juga dipetik berkata perbincangan dengan Khazanah sedang dibuat sambil menambah bahawa pemegang saham menyokong usaha syarikat penerbangan itu untuk mengatasi kesan pandemik berkenaan. – 12 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen