RCI patut siasat semua skandal di Malaysia, kata Guan Eng


Noel Achariam

Ketua Menteri Pulau PInang Lim Guan Eng hari ini menggesa supaya semua skandal yang wujud di Malaysia disiasat oleh Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI). – Gambar The Malaysian Insight, 30 November, 2017.

SEMUA skandal yang berlaku di Malaysia patut di siasat oleh Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI), kata Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Guan Eng berkata, menurut laporan RCI terhadap skandal forex pada 90-an yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini, dilaporkan berlaku kehilangan RM31.5 bilion sedangkan sebelum ini diumumkan kehilangan RM10.7 bilion.

“Kalau kita tengok jumlah BNM (Bank Negara Malaysia) masa itu, tak disebut pun RM31.5 bilion. Ada beza sebanyak RM21 bilion. Macam mana RM21 bilion boleh tersembunyi dalam akaun Bank Negara?” katanya dalam sidang media di Dewan Rakyat.

Guan Eng berkata, laporan itu menyatakan dana itu telah dilunaskan sepanjang tempoh 10 tahun tapi ia bukan semudah itu kerana semestinya ia akan dikesan oleh pemerhati dan bank dunia (IMF).

“Kami nak tahu macam mana ia berlaku sampai pakar antarabangsa pun tak dapat kesan.

“Bagaimana ia boleh tersembunyi selama ini sampai tiada orang boleh kesan, sampailah RCI yang dapat kesan.

“Sebab, kalau awak boleh sembunyi maklumat macam ini, apa jaminan yang maklumat seperti ini boleh juga tersembunyi dalam 1MDB, FGV, MARA. Takkan kami nak tunggu sampai 20 tahun nanti bila RCI ditubuhkan.

“Jadi, marilah kita adakan RCI untuk semua skandal. Supaya tidak ada jumlah tersembunyi,” katanya.

Berkaitan cadangan RCI supaya polis menyiasat bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan bekas menteri kewangan ANwar Ibrahim berkaitan isu forex, Guan Eng berkata, jika ada bukti yang ditemui, ambillah tindakan.

“Tapi, bukankah itu bermaksud ada konspirasi untuk sembunyikan maklumat yang sebenar.”

RCI menyarankan Dr Mahathir dan Anwar disiasat kemungkinan berlakunya jenayah pecah amanah dan penipuan.

Dalam laporannya, RCI menggesa polis menyiasat ahli lembaga pengarah Bank Negara Malaysia, Jabatan Audit Negara dan Kementerian Kewangan.

Putrajaya membentangkan laporan penemuan RCI di Dewan Rakyat hari ini.

Walaupun tidak ada dalam Peraturan Mesyuarat, laporan RCI setebal 400 muka surat dalam bahasa Melayu dan Inggeris itu diletakkan di meja Ahli Parlimen.

Laporan berkenaan sudah dipersembahkan kepada Yang Di Pertuan Agong, Sultan Muhammad V oleh Pesuruhjaya RCI yang terdiri daripada Mohd Sidek Hassan Md Said, Tajuddin Atan, Saw Choo Soon dan P. Kanagarayar pada 13 Oktober lalu.

RCI ditubuhkan bagi menentukan kebenaran dakwaan mengenai kerugian tukaran mata wang asing yang ditanggung Bank Negara dan implikasinya terhadap ekonomi negara.

RCI akan memutuskan sama ada terdapat percubaan untuk menyembunyikan fakta dan maklumat mengenai kerugian, termasuk pengeluaran kenyataan oleh pegawai tinggi yang dikatakan mengelirukan kabinet, Dewan Rakyat dan orang awam.

Empat puluh dua dokumen juga dikemukakan semasa prosiding tersebut.

Seramai 25 saksi - termasuk Dr Mahathir, Anwar Ibrahim, dan bekas menteri kewangan Daim Zainuddin - memberi keterangan pada pendengaran selama lapan hari.

Selain itu, bekas penasihat Bank Negara Noor Mohamed Yakcop turut dipanggil dan memberikan keterangan.

Hari ini merupakan hari terakhir sidang Dewan Rakyat bagi sesi 2017. – 30 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen