PELANGGAN berhak untuk meminta bukti pekerja warga asing di premis gunting rambut bebas daripada Covid-19, kata Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob.
Tukang gunting rambut dan pekerja warga asing di premis gunting disyaratkan menjalani ujian saringan virus itu sebelum mereka boleh menyambung semula operasi kedai, dan boleh dikenakan tindakan jika gagal berbuat demikian, katanya.
“Kami akan tutup premis berkenaan jika mereka tidak menjalani ujian Covid-19. Untuk premis gunting rambut mereka dibuka semula, mereka perlu jalani ujian saringan.
“Pelanggan boleh minta bukti sebelum masuk ke premis itu atau gunting rambut. Tukang gunting boleh tunjuk surat dari klinik di mana mereka jalani ujian saringan itu,” katanya pada sidang akhbar harian Covid-19 hari ini.
Minggu lalu, Ismail Sabri mengumumkan tukang gunting rambung dan salun kecantikan boleh kembali beroperasi tetapi dengan prosedur standard operasi (SOP).
Mereka dibenarkan menyambung semula operasi di bawah perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP), di mana lebih banyak kelonggaran dibenarkan bermula 10 Jun hingga 31 Ogos.
SOP itu termasuk penjarakan sosial, penggunaan topeng pelitup muka dan cecair pembasmi kuman, pemeriksaan suhu dan pelindung muka untuk kanak-kanak.
Ismail Sabri berkata perkhidmatan gunting rambut ke rumah dibenarkan dan lebih digalakkan kerana ia mengurangkan risiko di tempat ramai orang seperti di kedai gunting rambut dan salun. – 12 Jun, 2020.
Komen