Trump minta penyokong tidak saman jika dijangkiti virus di acara kempennya


Donald Trump akan meneruskan perhimpunan kempennya walaupun wabak koronavirus terus berleluasa di AS. – Gambar EPA, 12 Jun, 2020.

PENYOKONG Donald Trump yang menghadiri perhimpunan pilihan raya presiden Amerika Syarikat (AS) akan datang perlu menandatangani perjanjian tidak memfailkan saman jika mereka dijangkiti Covid-19 di acara itu, menurut laman web kempennya.

Jutawan daripada parti Republikan mengumumkan pada Rabu yang beliau akan meneruskan perhimpunan kempennya di empat negeri - Oklahoma, Florida, Arizona dan North Carolina - walaupun wabak koronavirus terus berleluasa di AS.

Lebih 113,000 orang meninggal dunia di negara itu akibat Covid-19, penyakit yang disebabkan oleh koronavirus baru, sementara lebih 2 juta kes direkodkan.
Di Florida, Arizona dan North Carolina, jumlah jangkitan mula meningkat lagi.

Penyokong Trump perlu menandatangani pengecualian di laman web kempennya untuk mendaftar bagi perhimpunan pertama, di Tulsa, Oklahoma, pada 19 Jun.

“Dengan mengklik daftar di bawah, anda sedia maklum risiko pendedahan Covid-19 yang wujud wujud di mana-mana tempat awam di mana orang hadir,” kata pengecualian.

“Dengan menghadiri perhimpunan, anda dan setiap tetamu secara sukarela menanggung semua risiko berkaitan pendedahan kepada Covid-19 dan bersetuju tidak meletakkan tanggungjawab kepada kempen Trump, atau mana-mana gabungannya, kontraktor atau pekerjanya, katanya lagi.

Laman sesawang ini tidak menyebut mengenai langkah lain untuk mengawal penyebaran virus, seperti memakai topeng.

Perhimpunan Tulsa mencetus kontroversi ketika Amerika bergelut dengan tunjuk perasaan selama berminggu lamanya berhubung perkauman dan kekejaman polis susulan pembunuhan seorang lelaki Afrika-Amerika, George Floyd, semasa dalam tahanan polis di Minneapolis pada 25 Mei.

Tulsa adalah lokasi rusuhan perkauman besar pada 1921 apabila sekumpulan orang kulit putih membunuh ratusan keturunan Amerika Afrika, sementara 19 Jun - “Juneteenth” - menandakan “Hari Kebebasan” yang meraikan penghapusan hamba abdi di Texas pada 19 Jun 1865.

Senator California, Kamala Harris, yang namanya disebut-sebut sebagai calon gandingan presiden Demokrat, Joe Biden pada November, mengecam demonstrasi itu sebagai “pesta selamat kembali” bagi golongan pelampau kulit putih.

White House memberi reaksi pada Khamis, dengan mengatakan Juneteenth adalah “hari yang bermakna” bagi Trump dan beliau ingin menggunakan kesempatan itu untuk berkongsi kemajuan yang dicapai untuk orang kulit hitam di Amerika.

Biden belum mengumumkan penganjuran semula himpunan kempen. – AFP, 12 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen