304 gelandangan masih berlindung di dewan DBKL


Ravin Palanisamy

Lebih 800 gelandangan dikutip dari seluruh ibu kota untuk diberi perlindungan apabila PKP mula dilaksana 18 Mac lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Jun, 2020.

304 gelandangan masih berada di pusat perlindungan sementara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sementara menanti langkah seterusnya dibuat pihak berkuasa.

Kumpulan gelandangan ini adalah sebahagian daripada lebih 800 orang yang dikutip dari jalanan ibu kota sejak bermulanya perintah kawalan pergerakan (PKP) 18 Mac lalu.

Pengarah Jabatan Perancangan Korporat DBKL Khairul Azmir Ahmad memberitahu The Malaysian Insight, yang mereka menunggu arahan kerajaan berkaitan tindakan selanjutnya ke atas 304 gelandangan tersebut yang kini berlindung di tujuh pusat penempatan sementara di seluruh ibu kota.

Khairul berkata daripada 304 orang itu, 43 adalah warga asing yang tidak dihantar ke depot imigresen disebabkan meledaknya wabak Covid-19 di situ.

“Enam pusat perlindungan menempatkan warga tempatan sementara satu pusat di Alam Damai adalah untuk 43 orang bukan warganegara,” katanya.

“Kami masih belum mendapat sebarang arahan daripada kerajaan sama ada kami perlu menutup pusat itu.

“Kerana itu, memandangkan kita berada dalam fasa pemulihan PKP, semua gelandangan yang berada di sini adalah di bawah jagaan DBKL.”

Gelandangan itu ditempatkan di Dewan Serbaguna Tasik Ampang Hilir (44), Dewan Serbaguna Sentul Perdana (52), Kompleks Sukan Desa Tasik (50), Dewan Serbaguna Alam Damai Cheras (43), Dewan Serbaguna Setiawangsa (64), Bukit Bandaraya (21) dan Bukit Damansara (30).

Khairul berkata gelandangan warga emas dan mereka yang dikesan menghidap masalah mental akan diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Kementerian Kesihatan.

Jelasnya, terdapat 103 gelandangan warga emas dan 18 gelandangan pesakit mental yang sekarang berlindung di pusat penempatan diuruskan DBKL.

Kebanyakan daripada gelandangan yang diberi perlindungan ketika PKP juga berjaya disatukan semula dengan keluarga masing-masing dan ada juga yang mendapat pekerjaan diuruskan pihak berkuasa.

Bulan lepas, 43 orang daripada mereka ditawarkan bekerja di ladang ternakan dan makanan di Perak, dengan gaji antara RM1,400 sehingga RM1,600 seorang.

Mereka berjaya mendapatkan pekerjaan itu melalui temuduga diatur kerajaan.

Harumi Brands Sdn Bhd dan Top Glove adalah antara syarikat yang bekerjasama dengan Kementerian Wilayah Persekutuan dan Jabatan Buruh dalam program penempatan pekerjaan untuk gelandangan.

Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa turut dilaporkan berkata DBKL juga menawarkan pekerjaan kepada gelandangan dalam organisasinya.

Ada juga peluang pekerjaan dibawa oleh penduduk tempatan, kata Annuar, yang berkata 500 gelandangan dijangka mendapat pekerjaan menerusi program itu. – 12 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen