SEPANJANG tempoh perintah kawalan pergerakan, kumpulan kebajikan diketuai Johan Halid banyak membantu keluarga miskin, tetapi sekarang, ketika negara sedang melalui fasa perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP), keluarga kelas pertengahan juga mula menghubunginya untuk mendapatkan bantuan.
Permohonan itu selalunya daripada orang yang mula kehabisan duit simpanan disebabkan PKP dan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) yang berlanjutan hampir tiga bulan, kata Johan yang merupakan pengerusi Sahabat Jariah Malaysia.
Keluarga tersebut selalunya adalah kumpulan pekerja yang gaji dipotong atau dipaksa mengambil cuti tanpa gaji ketika PKP dan PKPB dan sehingga sekarang masih belum mendapat pendapatan yang stabil, kata Johan.
“Mereka adalah pekerja kafe yang masih belum dibuka semula atau salon rambut dan kerana majikan mereka tidak ada pendapatan sepanjang tiga bulan lepas, mereka juga tidak dibayar,” kata Johan kepada The Malaysian Insight.
“Ini adalah permintaan bantuan selain daripada keluarga pendapatan rendah, migran dan Orang Asli yang kami sudah bantu,” katanya.
Sejak bermulanya PKP 18 Mac lalu, Sahabar Jarian Malaysia mula menghantar paket bantuan makanan mengandungi antaranya beras, minyak masak dan tepung kepada keluarga berpendapatan rendah di seluruh negara.
Sahabat Jariah adalah salah sebuah badan sivil (CSO) yang menjadi barisan hadapan membantu mengedarkan makanan dan wang tunai kepada kumpulan masyarakat yang terjejas teruk apabila PKP mula dilaksanakan.
Walaupun Putrajaya mula melonggarkan sekatan pada 12 Mei dengan pelaksanaan PKPB, banyak lagi perniagaan seperti pasar basah yang menggaji ramai pekerja keluarga B40 dan migran masih tidak dibenarkan buka.
Pada 10 Jun, Putrajaya mengumumkan hampir semua aktiviti perniagaan kecuali beberapa sektor seperti pub dan panggung wayang, boleh dibuka semula bagi membantu merangsang ekonomi yang tergendala kerana wabak Covid-19.
Diandaikan apabila aktiviti ekonomi kembali beroperasi, pekerja akan kembali mendapat gaji mereka, tetapi temuramah dengan beberapa badan kebajikan seperti Sahabat Jariah mendedahkan ia tidak berlaku.
Lebih membimbangkan apabila Malaysia mula memasuki perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP), derma kepada kumpulan kebajikan mula berkurangan kerana penderma percaya keluarga susah akan boleh kembali bekerja. – 13 Jun, 2020.
Komen