Masjid utama New Delhi ditutup semula


Pihak pengurusan Masjid Jama, New Delhi menutup semula masjid selepas dua hari kakitangannya meninggal dunia akibat Covid-19. – Gambar EPA, 12 Jun, 2020.

MASJID utama di New Delhi, India yang baharu dibuka semula akan kembali ditutup kerana bimbang kemungkinan koronavirus merebak, kata pihak pengurusannya pada Khamis.

Masjid Jama dibina pada abad ke-17 dibuka semula pada Isnin selepas kerajaan melonggarkan larangannya untuk mengadakan perjumpaan keagamaan - sebahagian langkah pengurungan selama sebulan di seluruh negara.

Tetapi pihak berkuasa memberi amaran jangkitan boleh meningkat dalam beberapa minggu akan datang, dan pihak pengurusan masjid ingin mengambil langkah selamat.

Ketuanya, Syed Ahmed Bukhari berkata sembahyang berjemaah akan dihentikan bermula Jumaat hingga 30 Jun, jika keadaan koronavirus “merosot” di New Delhi.

Ibu negara mencatatkan lebih 1,800 kes baru pada Khamis. Secara keseluruhannya, Delhi - mempunyai hampir 20 juta penduduk - menyaksikan lebih daripada 34,000 jangkitan dan 1,000 kematian.

“Koronavirus tersebar pantas di Delhi,” kata Bukhari dalam satu kenyataan. “Apa gunanya mengunjungi masjid pada saat penyebaran koronavirus memuncak di Delhi?”

Penutupan sukarela itu berlaku dua hari selepas pengurus media masjid meninggal dunia kerana Covid-19, penyakit yang disebabkan oleh virus.

Pada Isnin, India melonggarkan sekatannya untuk mengurangkan kesan terhadap ekonomi.

Tetapi virus masih merebak di negara kedua yang mempunyai jumlah penduduk terpadat di dunia, dengan sekitar 290,000 jangkitan dilaporkan - tempat kelima dengan jumlah kes tertinggi di dunia.

Banyak yang mempersoalkan keputusan kerajaan membuka kembali tempat ibadat, yang menarik jutaan penganut setiap hari.

Kerajaan tempatan di New Delhi memberi amaran pada Selasa bahawa bandar itu mungkin menyaksikan hampir 550,000 kes pada akhir Julai, yang berpotensi membebankan kemampuannya untuk merawat pesakit dijangkiti.

Pihak berkuasa di negeri Kerala selatan juga mengumumkan akan menangguhkan perhimpunan bulanan di Sabarimala, sebuah kuil Hindu yang terkenal yang menarik puluhan ribu penganut.

Sebilangan besar tempat ibadat mengehadkan jumlah penganut yang dibenarkan dalam satu masa, dan mengambil langkah memastikan penjarakan sosial dan kebersihan. – AFP, 12 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen