Kematian akibat virus di Brazil lepasi angka 40,000


Aktivis meletakkan 110 salib, sebagai simbol protes kesilapan kerajaan dalam menguruskan krisis koronavirus, semasa tunjuk perasaan anjuran NGO Rio de Paz, di pantai Copacabana, Rio de Janeiro, Brazil, semalam. – Gambar EPA, 12 Jun, 2020.

BRAZIL melepasi angka 40,000 kematian akibat koronavirus dan 800,000 kes, menurut data terbaru daripada kementerian kesihatan pada Khamis.

Berita itu muncul ketika jumlah kes virus di Amerika Latin melepasi 1.5 juta, menurut kiraan AFP berdasarkan angka rasmi di wilayah itu.

Amerika Latin juga melaporkan lebih 73,600 kematian.

Brazil mencatatkan 1,239 kematian dalam tempoh 24 jam terakhir, menjadikannya lebih 40,900 kes - ketika ini merupakan jumlah kematian ketiga tertinggi di dunia dan berkemungkinan akan mengatasi Britain pada Jumaat.

Gergasi Amerika Selatan, dengan jumlah penduduk 212 juta menyumbang kira-kira separuh dari Amerika Selatan, mencatatkan lebih 30,000 jangkitan baharu, menjadikannya 802,800 - yang kedua selepas Amerika Syarikat dari segi jumlah keseluruhan.

Namun, kebanyakan pakar mengesyaki jumlah sebenarnya jauh lebih besar kerana kekurangan ujian.

Angka terbaru Brazil muncul pada hari yang sama dengan dua bandar terbesar di negara itu - Sao Paulo dan Rio de Janeiro - membuka semula pusat membeli-belah.

Setakat ini, ia menjadi dua bandar di Brazil paling teruk terjejas.

Sao Paulo kini mempunyai lebih 10,000 kematian sementara Rio lebih 7,300 kes. – AFP, 12 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen