BIMBANG selepas tidak dibenarkan untuk beroperasi, pemilik pusat hiburan merayu kepada kerajaan negeri untuk dibenarkan berbuat demikian.
The Malaysian Insight difahamkan, pemilik pusat hiburan di Johor dan Sabah telah bertemu pihak kerajaan negeri untuk mendapatkan kebenaran beroperasi semula.
Pusat hiburan ini termasuk pusat karaoke, pusat istirehat, pub, kelab malam dan pusat urut berharap akan menerima perkhabaran gembira selepas tiga bulan tidak menjana pendapatan.
Putrajaya membenarkan kebanyakan sektor perniagaan dibuka semula di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) kecuali premis hiburan yang biasanya menarik ramai pengunjung.
Presiden Pusat Hiburan Johor Tan Yam Meng berkata, premis hiburan merupakan salah satu daripada beberapa sektor perniagaan yang masih tidak dibenarkan beroperasi semula sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada 18 Mac.
“Premis hiburan di seluruh negara mula bimbang kerana mereka terpaksa hentikan operasi selama tiga bulan.
“Sekiranya mereka hanya dibenarkan beroperasi hanya pada 31 Ogos, iaitu apabila PKPP berakhir, ini bermakna mereka sudah tidak beroperasi selama lebih lima bulan.
“Tiada perniagaan yang mamu bertahan tanpa pendapatan selama itu. Mereka tidak mampu bertahan,” kata Tan.
Menurutnya, pihaknya sudah menghantar memorandum kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, Pejabat Menteri Besar Johor, Dewan Perniagaan Cina Johor Bahru dan pihak lain yang berkaitan.
“Memorandum kami menyatakan, industri hiburan ini akan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan oleh kerajaan.
“Dalam masa yang sama kita juga menetapkan SOP sendiri untuk industri. Sebagai contoh, jumlah pelanggan yang pada asalnya 10 orang dihadkan kepada maksimum enam pelanggan sahaja pada satu masa.
“Peralatan dan pekakasan juga akan disanitasi, dan setiap bilik akan disanitasi sebaik sahaja kumpulan pelanggan beredar dan sebelum pelanggan seterusnya memasuki bilik berkenaan,” tambahnya.
Terdapat kira-kira 800 pusat hiburan berlesen di Johor, yang mana 20% hingga 30% daripadanya memilih untuk menutup perniagaan.
“Bayaran sewa, gaji pekerja dan kos sara hidup pemilik tidak mampu ditanggung, jadi perniagaan tidak mampu bertahan,” kata Tan.
Pendapatan berkurangan kerana SOP
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Peniaga Hiburan Sabah-Labuan, Peter Chow memberitahu The Malaysian Insight persatuan itu bertemu dengan kerajaan negeri minggu lalu untuk membincangkan perkara itu.
“Kesemua mereka langsung tiada pendapatan sejak PKP dikuatkuasakan dan ia sangat sukar untuk mereka,” kata Chow.
Tambahnya, terdapat kira-kira 700 pusat hiburan di Sabah, namun kebanyakannya gulung tikar pada tempoh ini.
“Pusat karaoke yang besar memerlukan sekurang-kurangnya RM100,000 untuk kos operasi bulanan, yang sederhana memerlukan kira-kira RM80,000 dan yang kecil kira-kira RM20,000. Ini untuk membayar sewa dan gaji pekerja. Namun kini mereka langsung tiada pendapatan.”
Chow menganggarkan, walaupun selepas premis hiburan dibenarkan beroperasi semula, sektor itu hanya mampu pulih 50% pendapatan kerana penjarakan sosial dan kapasiti yang dihadkan.
“Pusat istirehat perlu mengehadkan jumlah pelanggan, jadi perniagaan akan menurun. Namun ia lebih baik daripada langsung tiada pendapatan. Ia juga membolehkan pekerja bekerja semula dan mengelakkan mereka kehilangan kerja.”
Tingkat kemahiran pekerja
Dalam tempoh itu, pusat karaoke KTV RedBox juga menutup sementara lapan cawangannya di Malaysia.
Pengurus Pemasaran RedBox Lim Hai Song berkata, syairkat itu berharap dapat kembali beroperasi semula selepas pandemik ini berjaya dikawal.
“Lagipun, karaoke adalah ruang tertutup, dan pengguna tetap akan merasa bimbang dengan jangkitan. Jadi lebih baik tunggu sahaja sehingga epidemik ini terkawal dan pengguna juga kembali yakin,” kata Lim.
Beliau berkata, untuk terus bertahan dari segi perbelanjaan, syarikat itu turut membuat perniagaan penghantaran makanan bagi menjana pendapatan.
“Tetapi kita tidak mahu pekerja kembali ke premis adan berisiko dijangkiti.
“Karaoke adalah produk utama kami dan makanan produk kedua. Jadi kalau jual makanan sahaja, ia tidak berapa bagus. Jadi kami tilak sahaja idea ini,” kata Lim.
Katanya, walaupun pekerja mereka masih belum kembali bekerja, mereka kini menjalankan latihan dalaman bagi memantapkan perkhidmatan di masa akan datang.
“Biasanya mereka tiada masa cuti untuk latihan. Jadi kami ambil peluang ini untuk mengatur pelbagai sesi latihan untuk chef, pelayan dan pekerja lain. Latihan termasuk pembuat minuman dan masakan.”
Tambah Lim, RedBox turut menjalankan proses sanitasi di semua cawangannya sejajar dengan SOP kerajaan. – 12 Jun, 2020.
Komen