31 kes baharu Covid-19, tiada kematian


Bede Hong

Tidak ada kematian akibat Covid-19 yang dilaporkan hari ini di Malaysia dengan jumlah kematian kekal 118 orang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Jun, 2020.

MALAYSIA hari ini mencatatkan 31 kes baharu Covid-19 yang menunjukkan peningkatan berbanding semalam dengan 51 pesakit dibenarkan keluar dari hospital, kata Dr Noor Hisham Abdullah.

Ketua Pengarah Kesihatan itu berkata hanya satu kes baharu yang melibatkan rakyat Malaysia.

“Tidak ada kematian akibat Covid-19 yang dilaporkan dengan jumlah kematian kekal 118 orang.

“Jumlah pesakit yang sembuh berjumlah 7,065 atau 84.4% daripada jumlah 8,369 jangkitan,” kata Ketua Pengarah Kesihatan pada sidang media harian hari ini di Putrajaya.

Tambahnya terdapat 1,186 kes aktif yang mana lima daripadanya berada di unit rawatan rapi (ICU) dan tiada yang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Beliau berkata daripada 20 kes penularan di dalam negara, 11 kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara iaitu Mesir, 19 kes adalah bukan warganegara dan hanya satu kes adalah kalangan warganegara Malaysia yang merupakan pekerja di pusat tahfiz di Selangor.

Daripada 19 warga asing, 16 dijangkiti dari Kluster Pedas di Negeri Sembilan.

Jangkitan dikesan dari pekerja yang dikuarantin yang diuji lagi pada hari ke-13 mereka diasingkan. Mereka yang didapati positif akan menjalani rawatan, kata Noor Hisham.

 

Katanya, kluster Kampung Sungai Lui, Selangor dan kluster Syarikat Pembersih Kuala Lumpur, masing-masing mencatatkan satu kes baharu.

“Seorang pekerja asing juga positif ketika kembali bekerja di Kuala Lumpur,” katanya.  – 11 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen