RANG Undang-Undang Covid-19 akan meliputi pelbagai isu seperti penyitaan deposit tempahan majlis perkahwinan yang dibatalkan, kata Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob.
“Saya faham banyak kes bila deposit tak dipulangkan semula. Mereka tidak batalkan majlis kerana kehendak sendiri, tetapi terpaksa dibatalkan kerana prosedur operasi standard (SOP) kerajaan,” katanya pada sidang media perkembangan harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.
RUU Covid-19 akan dibentangkan pada sidang Parlimen akan datang dijadualkan pada Julai.
“Kita boleh selesaikan isu sebegitu nanti,” tambahnya.
Beliau menjawab soalan sama ada tindakan akan diambil ke atas penyedia perkhidmatan majlis perkahwinan yang enggan memulangkan semula deposit kepada pelanggan yang terpaksa membatalkan tempahan kerana pelaksanaan perintah kawalan pergerakan.
Majlis himpunan khalayak seperti majlis kahwin dilarang dianjurkan sepanjang PKP bermula sejak 18 Mac lalu. – 11 Jun, 2020.
Komen