Nor Mohamed Yakcop bertanggungjawab dalam kerugian forex, kata RCI


Amin Iskandar

RCI forex Bank Negara memutuskan Nor Mohamed Yakcop, yang menjadi penasihat bank pusat pada ketika itu, sebagai pihak yang bertanggungjawab. RCI juga berpendapat insiden itu melibatkan pecah amanah bawah Seksyen 406 dan 409 Kanun Keseksaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 November, 2017.

SURUHANJAYA Siasatan Diraja (RCI) mengenai kerugian matawang asing (forex) Bank Negara Malaysia (BNM) memutuskan Nor Mohamed Yakcop, yang menjadi penasihat bank pusat pada ketika itu, sebagai pihak yang bertanggungjawab.

Bank Negara mengalami kerugian RM31.5 bilion dalam dagangan tukaran wang asing (forex) antara daripada 1992 hingga 1994, menurut RCI yang menyiasat perkara itu.

RCI juga berpendapat insiden itu melibatkan pecah amanah bawah Seksyen 406 dan 409 Kanun Keseksaan.

Nor Mohamed menguruskan portfolio Bank Negara antara tahun 1986 hingga 1993, termasuk menguruskan rizab luar dan peraturan untuk pasaran kewangan dalaman.

Bagaimanapun, RCI berpendapat pihak lain juga patut dipertanggungjawabkan.

“Walaupun beliau mendominasi dana BNM dan dilihat mempunyai kebebasan dalam urus niaga forex, beliau tidak mungkin dapat melaksanakan urus niaga berkenaan dalam tempoh yang lama tanpa kelulusan langsung atau tidak langsung daripada pihak atasan dan/atau individu lain yang mempunyai kuasa.

“Justeru, suruhanjaya telah meneliti liabiliti bersama individu-individu berkenaan di bawah Seksyen 34 atau Seksyen 107 Kanun Keseksaan dan boleh dikaitkan sebagai mempunyai niat yang sama atau bersubahat,” menurut laporan itu.

Laporan tebal lebih 400 halaman itu itu dikeluarkan hari ini.

Individu-individu itu, menurut RCI, adalah Gabenor Jaafar Hussein, Timbalannya Lin See Yan, lembaga pengarah-pengarah, Menteri Kewangan ketika itu Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri Ke-4 Dr Mahathir Mohamad.

Dalam buku laporan bertajuk “Suruhanjaya Siasatan Untuk Menyiasat Kerugian Urus Niaga Mata Wang Asing Oleh Bank Negara Sekitar Tahun 1990 an”, RCI turut menggesa polis untuk menyiasat Dr Mahathir, Anwar, ahli lembaga pengarah BNM, Jabatan Audit Negara dan Kementerian Kewangan.

“Suruhanjaya berpendapat daripada fakta yang diberikan kepada inkuiri terdapat asas untuk mencadangkan polis menjalankan siasatan rasmi terhadap kemungkinan berlakunya jenayah pecah amanah dan atau penipuan yang mungkin dilakukan oleh kakitangan BNM, ahli lembaga pengarah BNM, Jabatan Audit Negara, menteri kewangan dan perdana menteri dalam menjalankan urusniaga spekulasi forex dan menyembunyikan kerugian forex daripada pengetahuan Kabinet dan Parlimen,” kata laporan itu.

Dr Mahathir kini merupakan pengerusi Pakatan Harapan (PH) yang terdiri daripada Bersatu, PKR, DAP dan Amanah.

Anwar merupakan ketua umum PH dan PKR. Kedua-dua bekas pemimpin negara itu kini bergabung tenaga melawan Perdana Menteri Najib Razak dan Barisan Nasional (BN).

Hari ini merupakan hari terakhir sidang Dewan Rakyat bagi sesi 2017.

Laporan berkenaan sudah dipersembahkan kepada Yang Di Pertuan Agong, Sultan Muhammad V oleh Pesuruhjaya RCI terdiri daripada Mohd Sidek Hassan Md Said, Tajuddin Atan, Saw Choo Soon dan P. Kanagarayar pada 13 Oktober lalu.

RCI ditubuhkan untuk menentukan kebenaran dakwaan mengenai kerugian tukaran mata wang asing yang ditanggung Bank Negara dan implikasinya terhadap ekonomi negara.

RCI akan memutuskan sama ada terdapat percubaan untuk menyembunyikan fakta dan maklumat mengenai kerugian, termasuk pengeluaran kenyataan oleh pegawai tinggi yang dikatakan mengelirukan kabinet, Parlimen dan orang awam.

Saksi-saksi yang dipanggil untuk RCI forex ialah:

Aziz@Abdul Aziz Abdul Manaf, Ahmad Hazzad Baharuddin, Abdul Murad Khalid, Wong Yew Sen, Essah Yusoff, Fizaman Noor Mohammed Nasir, P Kanason Pothinker, Saleha Lajim, Ishak Ismail, Khaw Lay Kuan, Lee Siew Kuan, Dr Lin See Yan, Mohd Sheriff Mohd Kassim, Clifford Francis Herbert, Anum Mohd Saaid, Dr Zeti Akhtar Aziz, Nor Mohamed Yakcop, Azman Mat Ali, Dr Hadenan A Jalil, Ahmad Mohd Don, Anwar , Othman Jusoh, Daim Zainuddin, Dr Mahathir dan Rizal Ishak. – 30 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen