Mahkamah tolak saman SPRM lucut hak RM100,000 milik yayasan


Bede Hong

Hakim berkata kerajaan gagal membuktikan ia pembayaran daripada bekas perdana menteri Najib Razak kepada pihak yayasan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Jun, 2020.

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur menolak saman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi permohonan lucut hak wang RM100,000 yang dirampas daripada Yayasan Persatuan Bekas Anggota Kemas Malaysia (PBAKM).

Hakim Muhammad Jamil Hussin memutuskan kerajaan gagal menentukan wang itu sebahagian atau sepenuhnya adalah pembayaran daripada bekas perdana menteri Najib Razak kepada pihak yayasan.

Wang itu yang dirampas tahun lalu, didakwa mempunyai kaitan dengan dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Hakim juga membangkitkan isu bahawa yayasan tidak pernah menafikan menerima cek daripada Najib dan akaun yayasan juga menyaksikan wujud beberapa transaksi selepas jumlah wang dimasukkan pada 33 Oktober 2013.

Pada satu ketika hanya RM1,500 tinggal dalam akaun itu, tambah hakim.

Timbalan Pendakwa Raya Nik Haslinie Hashim berkata kerajaan akan memfailkan permohonan penangguhan keputusan.

Mohamed Azhari Matiasin dan Julita Ilhani Abd Jabbar mewakili yayasan.

Jamil juga menetapkan 21 dan 27 Julai untuk mendengar permohonan pendakwaan untuk menyita RM2.7 juta daripada Umno Selangor dan RM677,000 daripada Umno Johor.

Pendakwa raya memaklumkan mahkamah yang notis kepada pihak berkepeningan ketiga tidak dibalas. Umno diwakili Syahrul Syazwan Salehin dan R Hanita.

Pada Jun tahun lepas, SPRM memfailkan saman sita sivil terhadap 41 entiti, terdiri daripada individu, syarikat dan parti politik, di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 bagi mendapatkan semula RM270 juta yang dipercayai berkaitan 1MDB.

SPRM percaya wang tersebut dipindahkan secara tidak sah daripada akaun bank Najib. – 11 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen