PERLIS memberi kelonggaran kepada warga asing yang menetap di negeri itu untuk solat berjemaah di masjid dan surau, kata Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs).
Pengarahnya, Hazman Hassan berkata, warga asing yang dibenarkan berjemaah di masjid hanyalah mereka yang berstatus pemastautin tetap sahaja.
“Bagi warga asing yang tinggal di rumah kongsi, rumah kedai atau di kediaman yang sukar melaksanakan penjarakan sosial, kehadiran ke masjid hendaklah ditangguhkan terlebih dahulu,” katanya, seperti dipetik Harian Metro.
Tambahnya, pihak JAIPs juga membenarkan ahli kariah berusia 60 tahun.
“Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) membenarkan mereka (berusia lebih 60 tahun) jika sihat tubuh badan dan tidak mempunyai gejala seperti demam, sesak nafas, sakit tekak dan selsema hadir melaksanakan tugas pada solat Jumaat ditetapkan jadual.
“Namun kebenaran itu tidak merangkumi penyertaan mereka untuk bersolat Jumaat di luar waktu bertugas,” tambahnya.
Hazmah turut berkata, ahli jawatankuasa kariah perlu mengambil langkah proaktif mengembalikan syiar Islam dan berusaha menangani wabak Covid-19.
Sebelum ini, Menteri Kanan Keselamatan Ismail Sabri Yaakob mengumumkan larangan ke atas warga asing menyertai solat Jumaat dan jemaah apabila kelonggaran diberikan untuk lebih ramai makmum ke masjid.
Ismail berkata, warga asing masih belum dibenarkan menyertai solat jemaah disebabkan jumlah penularan Covid-19 yang tinggi dalam kalangan kumpulan itu.
Oleh itu keutamaan diberikan kepada rakyat Malaysia kerana warga asing tidak wajar dibenar memenuhi masjid sehingga tiada tempat untuk orang tempatan, katanya.
Kelonggaran untuk penyertaan lebih ramai makmum itu mengikut SOP semasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan berkuatkuasa bermula semalam sehingga 31 Ogos.
Keputusan kerajaan melarang warga asing ke masjid dikecam beberapa badan bukan kerajaan (NGO) termasuk Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM). – 11 Jun, 2020
Komen