BEKAS Peguam Negara Mohamed Apandi Ali mendakwa peguam kanan Gopal Sri Ram pernah memujuk beliau supaya menangkap Najib Razak atas dakwaan rasuah pada 2018, hanya beberapa bulan sebelum pilihan raya umum ke-14.
Apandi membuat dakwaan itu dalam satu hantaran di Facebook malam ini.
Gopal menyuarakan permintaan itu semasa berkunjung ke rumahnya pada Januari 2018, katanya.
Permintaan menahan perdana menteri itu pula, menurut Gopal, adalah arahan Dr Mahathir Mohamad, yang ketika itu mengetuai Pakatan Harapan, kata Apandi.
“Pada suatu malam dalam bulan Januari 2018, Gopal Sri Ram datang ke rumah saya selepas beberapa kali menelefon meminta untuk bercakap dengan saya secara terus dan peribadi.
“Oleh sebab beliau juga bekas hakim, saya setuju,” kata Apandi dalam hantaran yang beliau sebut bayangan awal kepada sebuah bab dalam memoirnya.
Apandi mengesahkan kepada The Malaysian Insight memoir itu dijangka akan diterbitkan sebelum hujung tahun ini.
Menurut posting berkenaan, Sri Ram memberitahu Apandi beliau mahu mengadakan pertemuan itu untuk tidak membekukan akaun syarikat guaman kerana peguam yang bertemu dengannya perlu dibayar.
Sri Ram datang ke rumahnya ditemani seorang peguam muda berketurunan Cina.
Apandi merupakan peguam negara ketika itu.
Sri Ram kemudian didakwa berkata itu hanya alasan kerana beliau “mempunyai agenda yang lebih besar.”
“Tun M hantar saya untuk berjumpa kamu,” Sri Ram didakwa sebagai berkata.
“Beliau mahu kamu menangkap Najib di pejabatnya, kamu pergi esok jam 2 petang, kami telah mengatur supaya polis di Putrajaya melakukan apa yang perlu atas arahan kamu.
“Kami juga telah mengatur supaya majistret mengeluarkan perintah reman ketika beliau (Najib) dibawa ke hadapannya.”
“Kamu akan menjadi wira di mata rakyat dan juga menjadi peguam negara pertama menangkap seorang yang sedang menjadi perdana menteri di Malaysia.
“Jangan bimbang, kami telah merancang semuanya, apa yang saya perlu adalah persetujuan dari kamu.”
Apandi kemudian telah bertanya Sri Ram atas alasan apa Najib hendak ditangkap.
Sri Ram didakwa berkata: “Saudara, rakyat di luar sana merasa kecewa dan tidak gembira, hakikat bahawa anda menangkapnya, tidak kira alasannya, akan membuatkan rakyat berbahagia.”
Dalam posting berkenaan, Apandi turut mendakwa mempunyai bukti dalam bentuk rakaman kamera litar tertutup (CCTV) serta saksi pertemuan dengan Sri Ram itu.
Sri Ram merupakan ketua pendakwa raya dalam perbicaraan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Najib.
Beliau turut mengetuai pendakwaan dalam perbicaraan Najib bersama bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB Arul Kanda kerana didakwa mengubah laporan audit 1MDB, perbicaraan rasuah Isteri Najib, Rosmah Mansor dan kes pengubahan wang haram Muhammad Shafee Abdullah yang merupakan peguam Najib.
The Malaysian Insight cuba menghubungi Sri Ram untuk mendapatkan penjelasan. – 10 Jun, 2020.
Komen