PENDANDAN dan tukang gunting rambut gembira dibenarkan menyambung semula perkhidmatan selepas lama tutup kedai sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan untuk membendung wabak Covid-19.
Beberapa kedai gunting rambut dan salun dandanan yang ditinjau The Malaysian Insight hari ini semuanya beroperasi dengan norma baharu.
Setiap pelanggan dipisahkan sejauh dua meter antara satu sama lain. Manakala tukang gunting memakai penutup muka plastik, pelitup muka dan apron pakai buang serta memakai set sarung tangan berbeza bagi setiap pelanggan untuk mengelakkan jangkitan.
Pelanggan juga berkata mereka berpuas hati dengan tahap kebersihan dan pematuhan prosedur standard operasi (SOP) ketat di kedai.
N. Mathivanan, tukang gunting rambut di Muthu Hairdressing Salon di Nilai, Negeri Sembilan membuka kedainya pada jam 8 pagi tadi untuk memastikan semua kelengkapan siap sebelum mula terima pelanggan pada 9 pagi.
Setiap pelanggannya perlu diperiksa suhu badan, menulis butiran dan mencuci tangan dengan cecair pembasmi kuman sebelum dibenarkan masuk ke kedai.
Memandangkan hanya Mathivanan hanya satu-satunya pekerja di kedainya, hanya tiga pelanggan dibenarkan masuk ke dalam premis pada satu-satu masa.
“Gunting rambut seorang saja, dua lagi tunggu di dalam tetapi jarak kerusi sejauh satu meter.
“Yang lain kena tunggu di luar kedai. Tiga orang masuk, saya kunci pintu. Saya tak mahu kedai sesak,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Mathivanan akan memastikan beliau mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan.
Beliau sentiasa menyah cemar setiap peralatan yang digunakan serta merendam gunting dan sikat dalam cecair antiseptik. Setiap pelanggan juga dipakaikan apron pakai buang yang berbeza.
“Kita perlu pastikan keselamatan pelanggan dan diri sendiri.
“Kerajaan benarkan kami buka kedai dan mereka percaya SOP akan dipatuhi. Jadi, kena patuh,” katanya.
Mathivanan juga berkata pengusaha kedai gunting rambut terpaksa mengenakan caj tambahan RM5 bagi menampung kos penyediaan peralatan pematuhan SOP untuk beroperasi semula semasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang bermula hari ini hingga 31 Ogos.
Hampir kesemua sektor ekonomi dibebarkan kembali beroperasi di bawah PKPP kecuali yang melibatkan perhimpunan awam.
Sabtu lalu Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob mengumumkan perkhidmatan guntingan dan dandanan rambut serta kecantikan dibenarkan beroperasi semula mulai hari ini dengan SOP yang ketat.
Antara SOP yang ditetapkan termasuk mengekalkan jarak sosial, memakai pelitup muka, sarung tangan dan cecair pembasmi kuman, memeriksa suhu badan dan pemakaian penutup muka bagi kanak-kanak. – 10 Jun, 2020.
Komen