KEMENTERIAN Kesihatan mengambil maklum kebimbangan peningkatan kematian dan kecederaan berpunca daripada kemalangan jalan raya selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilonggarkan.
Merujuk kepada data daripada Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kes kemalangan menunjukkan peningkatan ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat dikuatkuasakan bermula 4 Mei hingga 9 Jun berbanding pada tempoh PKP 18 Mac lalu.
Sebagai contoh, jumlah kemalangan kenderaan dan kematian antara 18 Mac dan 31 Mac masing-masing mencatatkan 5,498 kes dan 58 kematian. Ini adalah 392.7 kadar kemalangan sehari.
Secara perbandingan, angka itu meningkat kepada 738 kemalangan sehari ketika PKPB, yang bermula pada 4 Mei.
Data polis menunjukkan antara 5 Mei dan 12 Mei, jumlah kemalangan dan kematian dilaporkan pada 5,904 kes dan 58 kematian.
Antara 13 Mei dan 9 Jun, jumlah itu meningkat kepada 25,251 kemalangan dengan 231 kematian, atau 738 kemalangan sehari.
“Data statistik awal menunjukkan hospital kerajaan menyaksikan 65% hingga 75% pengurangan kes trauma ketika PKP,” kata Dr Noor Hisham.
“Bagaimanapun, jumlah kes trauma meingkat 30% ketika PKPB, kerana lebih banyak pergerakan kenderaan di lebuh raya. Kadar peningkatan ini membimbangkan.
“Kementerian Kesihatan bimbang dengan keselamatan awam, terutamanya mereka yang berulang alik untuk bekerja kerana lebih banyak sektor ekonomi dan sosial dibuka semula.
“Kesan kemalangan sangat serius. Ia mungkin melibatkan kehilangan nyawa atau hilang kemampuan seperti kecacatan kekal dan kehilangan fungsi badan lain.”
Dr Noor Hisham berkata peningkatan kemalangan turut menjejaskan kemampuan hospital untuk menggunakan kemudahan kesihatan bagi merawat mangsa trauma.
“Ini mungkin bermakna peningkatan penggunaan bilik kecemasan, kekurangan katil dan unit rawatan rapi,” katanya dan menambah keperluan bekalan darah juga mungkin akan meningkat.
Noor Hisham menasihatkan pemandu agar mengelakkan daripada memandu ketika keletihan atau mengantuk. – 10 Jun, 2020.
Komen