SPRM dakwa naib presiden Warisan di mahkamah esok


Menteri Pembangunan Infrastruktur, Peter Anthony sebaik keluar dari Pejabat SPRM di Kota Kinabalu, Sabah. – Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid,10 10, 2020.

MENTERI Pembangunan Infrastruktur Sabah Peter Anthony akan didakwa di Mahkamah Sesyen di Kota Kinabalu esok berhubung dakwaan salah laku urus niaga tanah Risda di Tongod beberapa tahun lalu.

Beliau yang juga naib presiden Parti Warisan Sabah mengesahkan menerima waran daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk hadir di mahkamah pada jam 8 pagi esok.

“Saya sudah dapat waran untuk hadir esok berkaitan kes Risda.

“Saya tiada masalah… saya akan hadir esok. Kalau mereka mahu menahan saya pun tidak apa saya bersedia. Ini kes lama yang sudah selesai,” katanya kepada wartawan.

Beliau ditemui selepas keluar dari ibu pejabat SPRM di Kota Kinabalu untuk menyambung memberi keterangan, dipercayai berhubung siasatan melibatkan kontrak penyelenggaran jalan raya bernilai RM1.5 bilion yang diberi secara terus kepada lima buah syarikat.

Beliau hadir di ibu pejabat SPRM hari ini sekali lagi bersama peguamnya Cedric Choo.

Bercakap kepada wartawan, Anthony juga menegaskan pertuduhan terhadapnya bermotifkan politik, dan kerana itu beliau berjuang untuk menegakkan kebenaran.

“Mereka mahu buat apa sahaja, saya akan berjuang. Kita Sabahan (orang Sabah) tidak mahu lagi diperbodohkan,” katanya.

Anthony mendakwa kes terhadapnya bermotifkan politik kerana kerajaan negeri dan persekutuan tidak sehaluan, diterajui oleh parti politik yang berlainan.

Menurut Anthony, beliau menjangka akan didakwa mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Amla).

Semalam, Anthony berada di pejabat SPRM di Kota Kinabalu selama lebih kurang tujuh jam untuk diambil keterangannya.

Anthony memberitahu wartawan semalam, beliau disiasat susulan ada laporan yang dibuat terhadapnya.

“Ini adalah keterangan mengenai beberapa projek berkaitan dengan kerajaan negeri, saya sedia bekerjasama, dan akan datang pada bila-bila masa untuk memberi keterangan,” katanya. – 10 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen