SESI persekolahan yang dibuka semula bagi Tingkatan 5 dan Tingkatan 6 dua minggu lagi bermula 24 Jun akan mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan dan diluluskan oleh Majlis Keselamatan Negara, kata Menteri Pendidikan Mohd Radzi Jidin.
Garis panduan itu merangkumi segala tatacara di sekolah, daripada ketibaan murid sehinggalah tempat duduk di kelas dan pergerakan di kantin, katanya.
“Jangan bimbang, kami yakin dengan kerjasama ibu bapa, guru-guru dan anak-anak dalam mematuhi garis panduan yang telah dikeluarkan, anak-anak kita akan dapat hadir ke sekolah dan mengikuti pembelajaran dalam keadaan selamat,” katanya dalam sidang media yang disiarkan secara langsung di televisyen, petang ini.
Garis panduan itu disusun sejak April dan telah diuji di 12 sekolah di bawah kementerian dan 8 sekolah swasta pada awal bulan lepas, tambahnya. Ia diedarkan ke semua sekolah pada 4 Jun lalu.
Berdasarkan garis panduan itu, murid yang tiba di sekolah akan diperiksa suhu masing-masing sebelum dibenarkan masuk ke kawasan sekolah.
Peraturan sama dikenakan ke atas semua pihak termasuk guru dan warga sekolah serta mereka yang berurusan dengan pihak sekolah.
“Sesiapa yang mencatatkan suhu badan melebihi 37.5⁰C atau bergejala tidak akan dibenarkan memasuki kawasan sekolah,” kata Radzi.
Murid juga akan ke kelas masing-masing mengikut laluan pergerakan terarah yang ditetapkan, selain kerap mencuci tangan untuk menjaga kebersihan.
Kelas juga ditetapkan tidak lebih 20 murid dengan meja disusun pada jarak satu meter, kata menteri.
“Namun, untuk ruang yang lebih besar seperti dewan sekolah, kapasiti tentunya lebih tinggi,” tambah Radzi.
Murid juga tidak akan bersesak di kantin kerana waktu rehat dilaksanakan secara berperingkat.
Makanan dan minuman pula siap dibungkus dan murid akan makan di dalam kelas masing-masing di bawah pengawasan guru, katanya.
“Ibu bapa atau penjaga juga digalakkan menyediakan bekal makanan untuk anak-anak mereka,” tambahnya.
Ditanya mengenai bas sekolah, Radzi berkata garis panduan mengenainya akan dimaklumkan oleh Kementerian Pengangkutan dalam masa terdekat.
Pengumuman Radzi ini memenuhi janjinya akan memaklumkan pembukaan sekolah dua minggu lebih awal, seperti yang disebut dalam sidang medianya semasa mengumumkan penangguhan peperiksaan pada 15 April lalu. – 10 Jun, 2020.
Komen