Doktor Nicaragua dipecat lepas kritik kerajaan mengenai Covid-19


Nicaragua dikritik kerana hampir langsung tidak mengambil langkah-langkah untuk mengekang wabak Covid-19. – Gambar AFP, 10 Jun, 2020.

SEKURANG-KURANGNYA lapan doktor di hospital awam Nicaragua dipecat semalam kerana mengkritik kerajaan Presiden Daniel Ortega lambat bertindak terhadap penularan wabak Covid-19, kata pakar perubatan.

Pakar penyakit berjangkit, Carlos Quant, yang juga anggota jawatankuasa krisis kesihatan Nicaragua, berkata lapan doktor itu dipecat kerana menyokong gesaannya kepada kuarantin secara sukarela.

Quant berkata pemecatan dibuat kerana melawan dasar kerajaan yang tidak mengakui betapa seriusnya penularan Covid-19 di negara itu.

Pusat Hak Asasi Manusia Nicaragua (CENIDH) dalam satu kenyataan melahirkan kebimbangan terhadap pemecatan pegawai perubatan ketika Nicaragua sedang berdepan wabak Covid-19.

Lebih 30 persatuan perubatan menyokong gesaan kepada kuarantin secara sukarela di Nicaragua.

Kerajaan enggan mengenakan perintah kuarantin dengan alasan wabak adalah terkawal.

Tidak seperti negara-negara Amerika Latin lain yang mengenakan perintah sekatan pergerakan, Nicaragua dikritik kerana hampir langsung tidak mengambil langkah-langkah untuk mengekang wabak Covid-19.

Pentadbiran Ortega tidak mengarahkan sekolah dan pejabat ditutup, malah masih membenarkan perhimpunan beramai-ramai dan acara sukan seperti liga bola sepak kebangsaan.

Menurut angka yang dikeluarkan kerajaan setakat semalam, sebanyak 1,464 kes jangkitan dengan 55 kematian akibat Covid-19 dilaporkan di Nicaragua sejak kes pertama dikesan pada 18 Mac.

Bagaimanapun, Citizen Observatory, sebuah NGO terdiri daripada doktor dan pekerja kebajikan, berkata lebih 5,000 orang dijangkiti, manakala 1,000 maut disyaki akibat Covid-19. – AFP, 10 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen