TIADA masalah jika pengusaha taman asuhan kanak-kanak (taska) mahu menaikkan yuran jika ibu bapa bersetuju, kata Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob.
Pengusaha taska katanya terpaksa menanggung kos tambahan termasuk sanitasi, menyebabkan yuran mungkin terpaksa dinaikkan.
“Kita faham mereka perlu membuat sanitasi di taska mereka seperti di tempat-tempat lain, tentu ada kos (tambahan).
“Saya harap mereka dapat berbincang dengan ibu bapa dan memberikan penjelasan kenapa perlu ada peningkatan kos dan sebagainya.
“Kalau ada persetujuan bersama Insya-Allah tidak akan timbul isu selepas itu,” kata Ismail Sabri pada sidang media hari ini.
Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia (PPBM) semalam mencadangkan kadar yuran taska dinaikkan bagi memastikan kelangsungan operasi.
Presidennya Anisa Ahmad dipetik Bernama berkata taska yang mengenakan yuran RM600 dan ke bawah sebulan tidak dapat menampung kos operasi terutama ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Presidennya Anisa Ahmad dilaporkan Bernama berkata taska yang mengenakan yuran RM600 dan ke bawah sebulan tidak dapat menampung kos operasi terutama ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
“Walaupun sejak 4 Mei lalu ada taska yang sudah beroperasi dan semakin banyak akan dibuka pada 9 Jun ini, namun bilangan kanak-kanak terpaksa dikurangkan hingga 50 peratus bagi mematuhi penjarakan sosial, maka kutipan yuran juga berkurangan.
“Hal ini secara tidak langsung telah menjejaskan operasi taska kerana tidak dapat menampung beberapa kos seperti gaji pengasuh, sewa premis, bil api dan air, makan dan minum serta alat bantuan mengajar.
“Kita tunggu dalam dua hingga tiga bulan lagi dan lihat sama ada operasi taska ini boleh bertahan atau tidak,” katanya dipetik Bernama.
Anisa mengulas keluhan pengusaha taska yang menyuarakan kerisauan operasi terjejas susulan pelaksanaan PKP dan PKPB oleh kerajaan sejak 18 Mac lalu. – 10 Jun, 2020.
Komen