Ancaman jangkitan Covid-19 tetap ada, kata Ismail Sabri


Ragananthini Vethasalam

Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob meminta pemimpin masyarakat untuk berperanan dalam membimbing dan mendidik masyarakat menerima norma baharu pasca pandemik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Jun, 2020.

ISMAIL Sabri Yaakob mengingatkan orang ramai bahawa ancaman jangkitan dari Covid-19 tetap ada pada hari pertama perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP).

“Kita harus berperanan dalam memastikan wabak itu tidak merebak lagi. Pematuhan terhadap peraturan baharu dan peraturan diri sangat penting,” katanya pada sidang media harian mengenai situasi Covid-19 di negara ini hari ini.

“(Hanya kerana) ada kelonggaran (terhadap sekatan) yang diberikan itu tidak bermaksud kita dapat bebas dan kembali ke gaya hidup kita sebelum PKP,” katanya.

Beliau juga meminta pemimpin masyarakat untuk berperanan dalam membimbing dan mendidik masyarakat menerima norma baharu pasca pandemik.

Ismail berkata keputusan menguatkuasakan PKPP dibuat oleh kerajaan selepas mempertimbangkan kejayaan negara dalam meratakan lengkung dan perlunya membuka semula ekonomi.

Namun katanya itu tidak bermaksud perkara itu dapat dipandang ringan kerana virus dapat merebak kembali.

Malaysia akan berada di bawah PKPP mulai hari ini sehingga 31 Ogos.

Dalam perkembangan lain Ismail berkata kuarantin di hotel sudah berakhir semalam.

Mulai hari ini semua warganegara yang pulang dari luar negara akan diuji di lapangan terbang dan mereka yang positif akan segera dihantar ke hospital.

Mereka yang diuji negatif diwajibkan untuk menjalani kuarantin 14 hari di rumah.

Ismail turut menambah bahawa bagi 8,3381 individu yang kini berada di pusat kuarantin, mereka dibenarkan untuk menghabiskan baki kuarantin di rumah kerana semuanya diuji negative.

Mereka juga diminta untuk memuat turun aplikasi MySejahtera bagi membolehkan pihak berkuasa kesihatan memantau perkembangan mereka.

“Mereka yang melanggar perintah kuarantin dan SOP akan didenda RM1,000 atau dihadapkan ke mahkamah,” katanya. – 10 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen