MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan Najib Razak untuk memeriksa barangan bernilai lebih RM680 yang dirampas dari unit kediaman di Kuala Lumpur dua tahun lalu, yang didakwa ada kaitan dengan skandal penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Hakim Jamil Hussin membenarkan permohonan bekas perdana menteri itu untuk memeriksa barangan yang disimpan di Bank Negara bersama peguamnya.
Polis merampas barangan tersebut dari dua unit kediaman di Pavilion Residences di Bukit Bintang, Kuala Lumpur milik Obyu Holdings Sdn Bhd pada 17 Mei 2018.
Barangan yang dirampas termasuk 11,991 barang kemas, 401 jam tangan, 16 barang hiasan jam tangan, 234 pasang kaca mata, 306 beg tangan, dan wang tunai bernilai dalam pelbagai mata wang.
Putrajaya memfailkan permohonan melucut hak barangan tersebut daripada Obyu Holdings mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.
Najib mohon untuk memeriksa selepas berlaku kekeliruan untuk mengenal pasti barangan akibat masalah pelabelan.
Mahkamah Tinggi sebelum ini membenarkan isteri Najib, Rosmah Mansor memeriksa barangan berkenaan pada Mac lalu.
Turut sama mendapat kebenaran membuat pemeriksaan adalah firma barang kemas Lubnan, Global Royalty Trading SAL.
Global Royalty memohon mendapatkan kembali 44 barang kemas bernilai AS$14.79 juta atau hampir RM60 juta yang dihantar kepada Rosmah.
Firma itu berkata barang kemas itu disita polis dan Rosmah tidak pernah membuat pembayaran. – 10 Jun, 2020.
Komen