PADA 1986, pengarah filem Nasir Jani menzahirkan watak Osman Tikus (lakonan Pyanhabib) sebagai watak simbolik yang menyindir sikap politik di negara ini.
Osman Tikus dalam filem Kembara Seniman Jalanan (KSJ) ialah si licik yang mencari makan dengan kerja menyeluk saku. Watak pencopet yang tidak pernah mempedulikan nasib mangsanya.
Manusia di jalanan bagi Osman Tikus ialah “sumber rezeki”. Apa terjadi kepada mangsa yang kehilangan dompet dan wang, bukan urusan si pencopet.
Hari ini Osman Tikus ada di mana-mana waima dalam politik. Tidak kira secara parti dan fraksi – watak pencopet yang tidak memikirkan nasib rakyat kini muncul sampai ke Parlimen.
Osman Tikus dalam filem KSJ pada 2020 lebih relevan dijadikan simbolik mengenai sikap wakil rakyat.
Cuma, dalam senario politik, sikap jenayah dan kelicikan Osman Tikus tidak berlaku di jalanan.
Ahli politik mencopet kuasa dengan cara tersendiri dalam urusan “jual beli atau mencuri kerusi”.
Drama copet mencopet begini meletihkan rakyat. Apa lagi dalam suasana krisis Covid-19 yang meragut sumber rezeki dan menyempitkan aliran nafas masyarakat.
Menurut data, pada dua minggu pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, lebih 70,000 orang kehilangan kerja. Itu data Jabatan Perangkaan bagi tempoh kajian antara 18 Mac hingga 2 April.
Angka kehilangan pekerjaan tidak mustahil mencapai hampir 500,000 orang pada hujung Mei lalu setelah 10 minggu PKP dikuatkuasakan.
Bagi peniaga kecil pula, lebih 80, 000 peniaga sudah gulung tikar. Itu angka 9% daripada 901,000 syarikat milik peniaga kecil dan sederhana.
Sebanyak 90% peniaga lagi (lebih 700,000 syarikat) memberi respons kepada Kementerian Pembangunan Usahawan, simpanan tunai yang ada hanya cukup untuk bertahan selama tiga bulan lagi.
Hanya 1% atau 9,000 peniaga masih memiliki kewangan mapan dan mampu bertahan selama setahun.
Selain peniaga, pekerja juga terancam. Pembuangan pekerja bukan lagi isu besar.
Memandangkan ia berita yang boleh dijangka, media massa mengabaikannya.
Agak menghairankan mengapa media massa tidak berminat mendapatkan maklumat secara agresif mengenai angka pembuangan pekerja di negara ini.
Agak jenuh memikirkan penyakit wartawan hari ini?
Mengapa begitu taat mengadap sidang akhbar rutin menteri Kabinet atau tekun mengutip angka-angka mudah yang disuapkan pihak berkuasa setiap hari?
Hilang kerja kini berita media sosial
Isu hilang kerja kini hanya sekadar hantaran sedih di media sosial.
“Saya hilang kerja ketika bersiap-siap hendak ke pejabat,” kata Azizi Hamdi.
Azizi mendapat mesej daripada wakil Sumber Manusia mengenai penamatan kontraknya.
“Sebagai pekerja kontrak, kami sudah menduga akan ada berita meyedihkan. Tetapi ditamatkan kerja seminggu sebelum hari raya tentulah sangat menyedihkan,” katanya.
Azizi kini menyertai komuniti Facebook Suara Anak Cokit.
Sebagai platform yang menyediakan sebaran maklumat dan promosi percuma kepada peniaga yang mahu khidmat jualan online – SAC memberikan fokus khas pada produk Azizi.
Anak muda 23 tahun ini menjual produk pakaian, beg dan buku terpakai.
“Saya mencari semua bahan ini dan menjual semula dalam bidaan secara langsung di Facebook SAC,” katanya.
Namun, bukan semua yang kehilangan kerja mampu menyertai bidang perniagaan sekalipun bisnes kecil. Ekonomi yang lemah dan daya beli yang merudum kini ancaman utama.
Jenama produk popular yang selama ini meraih jualan sekitar RM20 juta sebulan pun sudah senyap dan sendu.
Syarikat gergasi seperti AirAsia turut membuang pekerja. Itu pun kisahnya hanya dikesan media massa melalui sumber dalaman yang membocorkan maklumat.
Minggu ini AirAsia dijangka membuat pengumuman rasmi mengenai nasib 15,000 pekerjanya.
Walaupun wujud janji lisan mengenai konsep pemotongan gaji, namun tersebar berita, 500 orang akan ditamatkan khidmat.
Pilot minta kerja DBKL
“Bekas pilot antara calon yang memohon kerja di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur,” kata sumber.
Memandangkan jawatan yang ditawarkan hanya gred sederhana, menerima bekas pilot sebagai calon temuduga satu gambaran betapa rakyat sangat menderita.
Kadar pengangguran negara dijangka mencapai 5.5% tahun ini. Kalau diterjemahkan dalam angka, jumlahnya melebihi 860,000 orang.
Itu angka selamat yang diumumkan kerajaan. Angka realiti yang dikaji pelbagai agensi lain menyebut, lebih dua juta orang bakal kehilangan pekerjaan.
Ertinya ada potensi kadar pengangguran mencecah 7%. Sekiranya ini berlaku, ia peningkatan melebihi 100% pada kadar biasa sekitar 3.3%.
Bagi indeks global, negara yang sihat ekonomi memiliki kadar pengangguran dibawah 3%.
Ketika keadaan ekonomi makin memburuk dan Covid-19 masih merantai aliran ekonomi dunia, Malaysia lebih sibuk dengan angka sokongan kerusi Parlimen kerajaan PN dan pembangkang PH.
Macam meramal nombor ekor. Sekejap angka majoriti kerajaan dikatakan 114-108. Sekejap jadi 113-109 dan tiba-tiba dikatakan akan terbalik menjadi 129-93. Kerajaan dijangka bertukar lagi.
“Tukar apa lagi! Asyik tukar saja… rakyat kebuluran siapa peduli!”
Ini rungutan budak pasar Chow Kit. Marah sampai keluar anak tekak pun, siapa peduli.
Sebagai penjual buah-buahan yang sudah tiga bulan tidak berpendapatan, tentulah maki-hamunnya sukar dijadikan bahan berita.
Eleman kewartawanan 5W dan 1H (What, Why, When Where, Who dan How) lebih suka merakam cakap orang politik.
Wartawan sejak era doktrin patronisasi pada dekad 70-an memang suka menikmati percikan air liur menteri Kabinet.
Rakyat pun sebenarnya tidak lagi mempedulikan media massa. Banyak maklumat rasmi yang kritis boleh diakses secara mudah melalui kerjasama informasi rangkaian netizen.
“Pergi mampuslah media kalau asyik berita politik dan membodek saja,” kata budak Pasar Raja Bot.
Pada 30 Mei lalu, pendakwah terkenal, Kazim Ahmad menegur sikap ahli politik di negara ini.
Sebagai pendakwah yang hidupnya akrab dengan suara jelata, Kazim kecewa: apabila terlalu banyak berita aksi lompat melompat parti dan pembentukan fraksi kuasa terlalu berleluasa.
Suara Kazim antara gambaran, rakyat berasa menyampah dengan politik yang tidak pernah berkesudahan.
Menerusi entri Facebook, Kazim menzahirkan rasa sedih:
“Wabak yang dok ada belum ada penawar, datang pula satu lagi wabak, wabak kemaruk kuasa.
“Yang ini mungkin tiada penawar buat selama-lamanya melainkan kematian,” tulis hantaran Kazim.
Air mata pekerja dahului tengkujuh
Menjelang Jun hingga Oktober ini, dijangka lebih sejuta pekerja akan dibuang. Walaupun “lockdown” domestik dibuka sepenuhnya, rantaian ekonomi global kekal terjejas teruk.
Ketika Eropah, Amerika, India dan negara serantau terutama Singapura dan Indonesia sedang bergelut mendepani jangkitan drastik Covid-19 – isu kehilangan kerja akan terus mencetuskan tengkujuh air mata.
Menurut Dr Barjoyai Bardai, dianggarkan lebih dua juta pekerja akan diberhentikan dalam tempoh beberapa minggu mendatang.
Ini menjadikan tidak banyak pilihan yang ada. Ketika ekonomi kekal menjunam, mereka yang kehilangan pekerjaan akan bergantung pada bantuan kerajaan.
Justeru, politiking tukar ganti kerajaan sangat menyedihkan.
Sedangkan realitinya masalah ekonomi sedang membunuh rakyat.
“Siapa pun yang mengambil alih kerajaan ini, dia akan mengambil alih kerajaan yang dibebani dengan semua keadaan ini,” kata Dr Barjoyai.
Kazim dan Barjoyai mewakili suara rakyat bawahan. Media massa memilih suara dua individu ini kerana reputasi mereka menjadikan berita memiliki nilai.
Sebenarnya, suara marhaen yang menderita akibat Covid-19 jauh lebih nyaring dan menyakitkan.
Namun, elok juga wartawan 5W dan 1H tidak mendengarnya. Suara marah orang marhaen selalunya dipenuhi maki-hamun dan sumpah seranah.
Pening nanti wartawan serta editor bertugas untuk menulis dan mengeditnya. – 10 Jun, 2020.
* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen