MENTERI Pelancongan dan Kebudayaan Mohamed Nazri Aziz mempertahankan pelantikan pemain bola sepak Barcelona Luis Suarez sebagai duta pelancongan Malaysia, mengatakan popularitinya akan membawa lebih ramai pelancong ke negara ini.
Bercakap di Dewan Rakyat hari ini Nazri berkata, sekiranya Suarez seorang “yang jahat”, beliau tidak akan mempunyai ramai pengikut di akaun media sosial Instagram, Facebook dan Twitter.
“Kalau dia ini jahat sangat, takkanlah follower Instagram dia 25 juta. Statistik menunjukkan dia memang seorang pemain yang popular,” kata Nazri ketika waktu pertanyaan-pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.
“Yang penting kita lihat statistik, jelas apa yang disebutkan oleh yang berhormat itu tidak penting, orang tetap sokong dia”.
Nazri menjawab soalan Hee Loy Sian (PKR-Petaling Jaya Selatan) yang meminta menteri pelancongan dan kebudayaan menyatakan faktor pelantikan dan bayaran nilai kontrak kepada pemain bola sepak Bercelona, Luis Suarez sebagai duta pelancongan Malaysia.
Dalam soalan tambahannya, Hee mempersoalkan mengapa Suarez yang mempunyai rekod disiplin seperti menggigit pemain-pemain daripada pasukan lain sewaktu masih bersama kelab bola sepak Inggeris Liverpool.
Menurut Nazri, Tourism Malaysia mendapat hak eksklusif menggunakan penyerang kelab FC Barcelona bertaraf dunia itu yang amat popular dalam kalangan peminat bdi rantau Asia khususnya di Indonesia dan China.
“Suarez mempunyai pengikut seramai 25.3 juta di Instagram, 18.9 juta di Facebook dan 12.4 juta di Twitter.
“Melalui kempen pengiklanan ini, Tourism Malaysia boleh menggunakan bintang bola sepak ini bagi mempromosikan destinasi pelancongan menarik di Malaysia khusus kepada bintang dan peminat bola sepak dari seluruh dunia melalui media sosial beliau,” katanya.
Nazri berkata, melalui kempen pengiklanan tourism Malaysia dengan kerjasama bersama syarikat pengiklanan antarabangsa Mediapro Asia, mesej tentang pelancongan Malaysia dapat disiarkan di 90 skrin LED yang terdapat di 18 buah stadium melibatkan perlawanan liga bola sepak Sepanyol “La Liga” musim 2017/2018.
“Mesej ini juga akan dipaparkan di 30 skrin digital board replacement (DBR) disiarkan di China, Hong Kong, Taiwan, Macau dan di negara lain di rantau Asia yang melibatkan pasukan Real Madrid dan FC Barcelona.
“Jumlah penonton di Asia adalah sebanyak 225 juta manakala di China sebanyak 445 juta penonton manakala di Eropah sebanyak 72.4 juta penonton,” katanya.
Nazri berkata, kempen pengiklanan ini melibatkan perbelanjaan sebanyak RM7.5 juta. – 30 November, 2017.
Komen