Koronavirus mungkin sudah muncul pada musim panas 2019


Koronavirus dikenal pasti bermula di Pasar Makanan Laut Huanan, Wuhan pada Disember 2019. – Gambar AFP, 10 Jun, 2020.

LONJAKAN kunjungan ke hospital dan carian di Internet berkaitan gejala Covid-19 dari bandar Wuhan di China menunjukkan koronavirus mungkin sudah wujud sejak Ogos 2019, menurut kajian awal para penyelidik di Universiti Boston dan Harvard.

Wabak dikaitkan dengan virus yang tersebar dari haiwan kepada manusia, awalnya dikenal pasti bermula di Pasar Makanan Laut Huanan, Wuhan pada Disember 2019.

Para pakar kemudian menganggarkan asal usul genetik virus muncul sekitar pertengahan November 2019. Satu laporan South China Morning Post yang memetik data kerajaan menunjukkan “pesakit sifar” mungkin dikesan pada 17 November.

Pasukan yang diketuai oleh Elaine Nsoesie di Universiti Boston menganalisa 111 gambar satelit dari Wuhan antara Januari 2018 hingga April 2020, dan juga kerap melihat gejala di enjin carian China, Baidu.

“Peningkatan jumlah yang tinggi mulai Ogos 2019” dikesan di tempat letak kereta hospital Wuhan, “dengan kemuncak pada Disember 2019,” catat penulis.

Disebabkan pertanyaan bagi perkataan “batuk” meningkat seiring dengan musim influenza setiap tahun, mereka juga mencari mengenai “cirit-birit” yang merupakan gejala khusus Covid-19.

“Pada Ogos, kami mengenal pasti peningkatan unik dalam carian cirit-birit yang tidak pernah dilihat pada musim selesema sebelumnya atau digambarkan dalam data carian mengenai batuk,” kata pasukan itu.

Walaupun gejala pernafasan adalah ciri paling umum jangkitan SARS-CoV-2, kajian menunjukkan cirit-birit “mungkin memainkan peranan penting dalam penularan komuniti.”

Penulis membuat kesimpulan walaupun tidak dapat memastikan secara pasti bahawa data yang didokumentasikan dikaitkan dengan virus, ia menyokong kesimpulan penyelidikan lain.

“Penemuan ini juga mengesahkan hipotesis bahawa virus itu muncul secara semula jadi di selatan China dan berpotensi sudah berlegar ketika kewujudan kluster Wuhan,” kata mereka. – AFP, 10 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen